Tidak berhenti di simpang, warga emas maut dilanggar kereta
Astro Awani
Februari 10, 2023 05:45 MYT
Februari 10, 2023 05:45 MYT
SUNGAI PETANI: Akibat keluar simpang tanpa melihat kiri dan kanan, seorang warga emas maut selepas motosikal ditungganginya dilanggar sebuah kereta di satu simpang empat di Taman Patani Jaya, di sini, semalam.
Mangsa, Ishak Mat Seman, 69 tahun, dari Kampung Changhai, Jeniang, maut ketika sedang menerima rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH).
Ketua Polis Daerah Kuala Muda ACP Zaidy Che Hassan berkata, kejadian berlaku jam 4 petang ketika sebuah kereta jenis Naza Citra sedang bergerak dari arah Lorong 25, Taman Patani Jaya ke arah Hotel Merilton.
Sementara itu, mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda Wave datang dari arah Lorong 24 ke arah pekan.
“Setiba di tempat kejadian, secara tiba-tiba, mangsa yang menunggang motosikal tidak berhenti di persimpangan dan terus keluar.
“Kereta Naza Citra yang dipandu seorang lelaki berusia 27 tahun itu tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian hadapan kiri motosikal, mengakibatkan mangsa terjatuh dari motosikal.
"Pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan. Bagaimanapun, mangsa cedera parah dan dikejarkan ke HSAH,” katanya dalam satu kenyataan.
Zaidy berkata, mangsa meninggal dunia ketika menerima rawatan di Wad Kecemasan pada jam 4.23 petang.
Jelas beliau, hasil siasatan polis trafik mendapati, kemalangan berpunca daripada kecuaian penunggang motosikal kerana tidak berhenti di persimpangan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.