Tidak berbaloi jual harumanis ke luar negara, Perlis henti eksport

Astro Awani
November 16, 2019 08:13 MYT
Setakat ini, permintaan mangga harumanis bagi pasaran dalam negara setiap tahun melebihi 3,000 tan metrik. - Gambar hiasan
Perlis menghentikan eksport mangga harumanis ke luar negara bagi mengatasi masalah pengeluarannya yang terhad.
Tindakan itu juga diambil sebagai persediaan kemungkinan berlaku kekurangan bekalan buah gred A pada musim tuaian.
Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man berkata, pertimbangan itu dibuat selepas mengambil kira harga yang dijual bagi pasaran luar negara sangat tidak berbaloi memandangkan kos eksport juga perlu ditanggung.
Pasaran Jepun antara yang terawal terpaksa dihentikan pengeksportan, iaitu sejak 2014, disebabkan harga jualannya yang sangat rendah bagi buah gred A iaitu RM18 sahaja.
Selain Jepun, Singapura juga antara negara terawal yang dihentikan pengeksportan harumanis.
“Ini kerana, buah yang dibeli pihak Jepun ini memang kualiti terbaik, dan tidak mempunyai tompok hitam.
"Jadi, kenapa kita mahu menjual buah yang berkualiti baik pada harga RM18 sekilogram, sedangkan harga yang dijual di sini untuk gred kedua, adalah RM25 sekilogram," katanya pada Jumaat.
Azlan ditemui pada Program Penemusuaan Pengusaha-pengusaha Harumanis Perlis bersama Pemain Industri, sempena mempromosikan mangga harumanis Perlis bagi 2020 di Kompleks Pertanian Bukit Temiang, Beseri.
Setakat ini, permintaan mangga harumanis bagi pasaran dalam negara setiap tahun melebihi 3,000 tan metrik.
Namun, Perlis hanya mampu mengeluarkan hasil sebanyak 2,050 tan metrik setahun.
Bagaimanapun, kata Azlan, pihaknya sedia membuat pertimbangan semula jika pasaran mangga harumanis dalam negara bergerak perlahan dan tepu.
#Azlan Man #bekalan #Buah-buahan tempatan #ekonomi #eksport #Harumanis #henti eksport #Jepun #mangga #Menteri Besar #Perlis #pertimbangan semula #Singapura
;