Tidak benar kerajaan abaikan kaum India - PM Anwar

Bernama
Julai 8, 2024 20:10 MYT
Anwar bersalaman dengan orang ramai ketika hadir ke Program Santai Bersama Komuniti India Parlimen Tambun di Dewan Komuniti Chemor hari ini. - Gambar Bernama
IPOH: Beberapa peruntukan tambahan yang telah disalurkan Kerajaan Perpaduan khusus bagi meningkatkan taraf sosioekonomi masyarakat India di negara ini adalah bukti kerajaan tidak mengabaikan golongan itu, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar berkata sebelum ini kerajaan telah menyalurkan RM100 juta kepada Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) selain menambah beberapa dana seperti bantuan sejumlah RM50 juta kepada Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional dan Amanah Ikhtiar Malaysia untuk masyarakat India .
"Kalau wakil masyarakat India cakap dengan saya, saya akan cuba selesaikan. Tengok ada orang kata MITRA (bermasalah) itu tidak betul, MITRA sahaja (kita beri) RM100 juta.
"TEKUN (untuk) peniaga kecil India macam mana... kita tambah RM50 juta, kemudian Amanah Ikhtiar dulu untuk orang-orang kampung yang miskin semua kita bantu, sekarang Amanah Ikhtiar pun kita tambah RM50 juta bagi masyarkat India, jadi tak betul kalau kata kita tak ambil tahu," katanya ketika berucap pada Program Santai Bersama Komuniti India Parlimen Tambun di sini hari ini.
Perdana Menteri berkata langkah yang diambil kerajaan bagi membantu masyarakat India itu adalah hasil maklum balas dan perbincangan dengan rakan-rakan, exco, Ahli Dewan Undangan Negeri dan wakil masyarkat India mengenai masalah dihadapi kaum tersebut.
Anwar berkata selain itu, pihaknya juga telah meminta Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi supaya menyediakan peluang kepada anak-anak masyarakat India menyertai program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang mula dilaksanakan, tahun ini.
"Kemudian saya (beritahu) kepada Petronas, bagi biasiswa kepada masyarakat India, dulu tumpu masyarakat Melayu okey... tetapi sekarang untuk masyarakat India, latihan, staf, biasiswa lebih 1,000 telah diambil.
"Jadi kalau ini kawan-kawan dan pemimpin masyarakat tidak cerita, orang tidak akan simpati dan kesian, sebab itu saya kata buat aduan...cuma jangan timbul cakap seolah-olah oh, Anwar tidak ambil tahu semua. Ini tidak betul, " katanya.
Perdana Menteri berkata beliau juga meminta Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek supaya melatih lebih ramai guru bahasa Tamil bagi membolehkan pelajar-pelajar yang ingin mempelajari bahasa itu tidak mengalami sebarang masalah.
"Bahasa Kebangsaan adalah bahasa Melayu, tetapi anak Cina nak belajar bahasa Cina kita bagi peluang. Kita tak rugi, negeri kita untung kalau anak Malaysia (tahu bahasa) Tamil, Cina, dan Arab yang boleh menguntungkan negara," katanya.
Selain itu, Anwar berkata beliau dan barisan kepimpinan serta masyarakat keseluruhannya perlu bekerjasama dalam menyelamatkan negara daripada penyelewengan, serta menghentikan sikap perkauman.
Perdana Menteri berkata negara kini memasuki era baharu iaitu era digital dengan teknologi kecerdasan buatan dan anak-anak telah diberikan yang terbaik termasuk guru-guru terbaik.
"Itu adalah permintaan saya, saya akan terus mengulangi ini tanpa ragu-ragu, saya ingin mengatakan bahawa kami akan bekerja keras, saya tidak peduli apa yang orang mahu katakan atau cadangkan, satu perkara penting, kita perlu menyelamatkan negara ini daripada pemimpin tamak yang telah mencuri wang dari negara ini.
"Kita perlu menyelamatkan negara ini daripada fanatik perkauman dan agama dalam kalangan semua bangsa dan agama...Dan selagi saya menjadi Perdana Menteri, saya akan melakukan apa yang terbaik untuk menyelamatkan negara ini," katanya.
-- BERNAMA
#Kerajaan Perpaduan #Mitra #TEKUN #masyarakat India
;