'Tidak akan lari ke ladang sawit' - Rafizi

Sinar Harian
Jun 1, 2018 14:04 MYT
Menurutnya, beliau lega dengan perintah bon berkelakuan baik selama dua tahun bagi menggantikan hukuman penjara. - Gambar fail
"Saya akan berkelakuan baik dan insyaAllah tidak akan lari ke ladang kelapa sawit,” kata Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli selepas permohonannya untuk mengetepikan hukuman penjara 18 bulan dibenarkan.
Menurutnya, beliau lega dengan perintah bon berkelakuan baik selama dua tahun bagi menggantikan hukuman penjara.
“Saya rasa lega dan bersedia dengan apa-apa kemungkinan terhadap keputusan hari ini,” katanya.
Menurutnya, dengan keputusan itu, tidak timbul sebarang kekangan terhadap haknya sebagai seorang rakyat.
“Walaupun tidak merayu terhadap sabitan, saya kembali menjadi rakyat biasa,” katanya.
Ketika ditanya sekiranya diberi laluan dalam pilihan raya kecil, bekas Ahli Parlimen Pandan itu berkata, beliau ingin berehat seketika.
“Saya ingin bercuti. Saya ada lagi satu kes Bafia,” katanya.
Pendengaran permohonan rayuan Rafizi menarik hampir 100 penyokong hadir ke Mahkamah Rayuan bagi mengikuti prosiding hari ini.
Antara yang hadir, Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar, dan Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad.
Ahli Parlimen Johor Bahru, Ahmad Kamal Nasir hadir bertindak sebagai penjamin Rafizi.
#bon #Johor Bahru #MP Pandan #Nurul Izzah #pilihan raya kecil #PKR #Rafizi Ramli #rakyat
;