Tidak akan ada pendakwaan terpilih jika ahli politik benar-benar bersih - MCW
Astro Awani
Mac 9, 2023 16:54 MYT
Mac 9, 2023 16:54 MYT
KUALA LUMPUR: Isu penyiasatan dan pendakwaan terpilih seperti yang dibangkitkan oleh ahli-ahli politik tidak timbul sekiranya mereka benar-benar bersih dan tidak terbabit dengan gejala rasuah atau salah guna kuasa.
Dalam satu kenyataan media,Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berpendapat sesiapa sahaja yang disiasat dan dituduh pasti ada sebab dan alasan kukuh kerana pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menjalankan siasatan secara menyeluruh, terperinci dan profesional.
"Pujian harus diberikan kepada SPRM kerana menjalankan amanah dan tugas dengan berani tanpa 'memilih bulu' sama ada individu tersebut mempunyai pangkat atau kedudukan tinggi dalam parti tertentu ataupun masyarakat.
"Siasatan dan pendakwaan ke atas pemimpin parti politik perlu diberikan perhatian serius dan dijadikan sebagai pengajaran kepada pemimpin politik yang lain.
"Hakikatnya, budaya politik Malaysia sudah terlalu tercemar dengan pelbagai masalah moral, integriti, rasuah, salah guna kuasa dan nepotisma," katanya, dalam satu kenyataan di sini, pada Khamis.
MCW juga menegaskan mahkamah membuat keputusan setelah mendengar hujah-hujah daripada pihak pembelaan dan pendakwaan dengan bukti-bukti yang dikumpulkan oleh pihak SPRM.
Badan itu juga menegaskan, perbuatan rasuah tetap salah dan semua pihak harus menghormati keputusan mahkamah jika seseorang itu terbukti bersalah dan harus dijatuhkan hukuman.
Kenyataan MCW ini hadir ketika Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin dipanggil untuk siasatan oleh SPRM dan akan didakwa pada Jumaat.
Pemimpin Perikatan Nasional (PN) mendakwa pendakwaan yang dilakukan terhadap pemimpin pembangkang itu bermotifkan politik dan menganggapnya pendakwaan terpilih.