Tidak adil untuk Pandelela tuding jari terhadap media secara melulu - SAM
Firdaus Azil
Februari 17, 2024 20:53 MYT
Februari 17, 2024 20:53 MYT
KUALA LUMPUR: Persatuan Penulis Penulis Sukan Malaysia (SAM) kecewa dengan tindakan ratu terjun negara Datuk Pandelela Rinong yang menyalahkan media sebagai punca kepada kemelut yang sedang melanda dalam kem terjun negara susulan prestasi di Kejohanan Akuatik Dunia di Doha, Qatar.
Presiden SAM, Norismadi Abd Manap dalam satu kenyataan pada Sabtu menegaskan, media sukan adalah profesional dalam menjalankan tugas dan menyampaikan laporan - sama ada cetak, elektronik mahupun portal dalam talian.
Katanya lagi, tidak adil jika atlet tersebut menuduh media memutar belit kenyataan yang dikeluarkan ketika sesi temu ramah selepas pasukan terjun kembali dari Doha.
"Laporan dibuat berdasarkan kenyataan yang dikeluarkan dan segala sesi direkodkan sebagai rujukan dalam penulisan. Justeru, adalah tidak adil untuk menuding jari terhadap media secara melulu.
"Media tidak pernah menafikan sumbangan yang telah diberikan oleh Datuk Pandelela namun untuk menyalahkan media adalah tindakan yang tidak wajar," kata Norismadi.
Terdahulu, Pandelela dalam catatan terbaharu di Facebooknya berkata, kata-kata berkenaan ‘entiti’ atau ‘pihak ketiga’ itu telah disalah tafsir oleh media sehingga menimbulkan spekulasi dan salah faham.
"Isu-isu ini berkaitan dengan latihan. Walau bagaimanapun, ia telah diterjemahkan kepada istilah seperti 'entiti' dan 'pihak ketiga,' yang sangat mengelirukan orang ramai.
"Saya tidak mempunyai sebarang platform lain untuk menjelaskan perkara ini kepada orang ramai. Oleh itu telah memutuskan untuk membuat kenyataan ini bagi menjelaskan keadaan. Saya harap perkara ini akhirnya dapat dihentikan," katanya lagi.
Dalam pada itu Norismadi berkata Pihak SAM sentiasa terbuka untuk berbincang dengan mana-mana pihak dalam arena sukan Malaysia jika ada salah faham yang memerlukan penjelasan bagi mengelakkan kekeruhan berpanjangan.
"Penggunaan media sosial sebagai platform untuk meluahkan pandangan atau kekecewaan tanpa berbincang atau mendapatkan penjelasan daripada pihak media terbabit mahupun SAM adalah tidak menggambarkan diri anda sebagai atlet profesional." katanya lagi.