Tidak ada yang luar biasa tentang penamatan khidmat Tun M dalam Petronas - Azwan Bro

Wan Syamsul Amly
Mac 12, 2016 14:27 MYT
KHAIRUL AZWAN: Tidak ada luar biasa berhubung penamatan khidmat Tun Dr Mahathir sebagai penasihat Petronas. -Gambar fail
Tidak ada isu luar biasa berhubung tindakan kerajaan menamatkan khidmat bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai penasihat Petronas.
Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairul Azwan Harun berkata, Petronas sebagai sebuah syarikat gergasi minyak boleh diurus dengan baik oleh lembaga pengarah dan pengurusan sedia ada.
"Pemuda UMNO menyambut baik dan menyokong keputusan kerajaan untuk menamatkan khidmat Tun M sebagai Penasihat Petronas. Tiada yang luar biasa atas tindakan kerajaan itu.
"Petronas boleh diurus oleh lembaga pengarah dan pengurusan sedia ada. Bagaimanapun kerajaan mempunyai hak dan tanggungjawab untuk memastikan Petronas diurus dan dijaga dengan baik," katanya kepada Astro AWANI di sini hari ini.
Khairul Azwan mengulas keputusan Kabinet pada Jumaat yang menamatkan khidmat Dr Mahathir sebagai Penasihat Petronas.
Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan pada berkata Dr Mahathir tidak wajar memegang jawatan yang mempunyai kaitan dengan kerajaan selepas tidak lagi mendukung kerajaan sedia ada.
Keputusan dibuat susulan tindakan bekas perdana menteri itu melancarkan Deklarasi Rakyat bersama pemimpin pembangkang pada 4 Mac lalu.
Petronas dalam pada itu turut menghormati sebarang keputusan kerajaan mengenai kedudukan Dr Mahathir sebagai penasihat syarikat minyak nasional itu.
Jelas Petronas dalam satu kenyataan, pelantikan penasihat Petronas adalah hak kerajaan Malaysia dan mereka menghormati sebarang keputusan dibuat kerajaan mengenai perkara itu.
#azwan #Dr Mahathir #Pemuda UMNO #penasihat petronas #Petronas
;