'Tidak ada satu sen pun wang rakyat digunakan untuk bayar hutang 1MDB' - Najib

Umavathi Ramayah
Mac 2, 2022 18:44 MYT
Najib berkata, 1MDB juga membiayai pembinaan dan proses menaik taraf pangkalan anggota pertahanan termasuk Pangkalan Udara Sendayan yang merupakan pangkalan udara terbesar di negara ini. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Tidak ada satu sen pun wang rakyat yang digunakan untuk membayar prinsipal hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB), tegas Datuk Seri Najib Razak.
Ahli Parlimen Pekan itu memberitahu, bayaran sebanyak RM16.4 bilion yang diterima daripada Goldman Sachs bukanlah wang rakyat sebaliknya itu adalah wang bank terbabit yang boleh digunakan untuk membayar hutang 1MDB.
Katanya, beberapa dana lain termasuk daripada Jabatan Kehakiman (DOC) Amerika Syarikat, Ambank, KPMG dan Deloittes yang kesemuanya berjumlah RM23 bilion juga bukan wang rakyat.
"Sepatutnya wang ini boleh digunakan untuk membayar hutang 1MDB. Hakikatnya, satu sen pun prinsipal hutang 1MDB tidak pernah dibayar (guna wang rakyat).
"Pada 2018 hutang 1MDB berjumlah RM32 bilion. Pada 2019 hutang RM32 bilion. Pada 2020 hutang RM32 bilion. Pada 2021 hutang RM32 bilion," katanya ketika membahaskan Titah Diraja di Dewan Rakyat di sini, pada Rabu.
Justeru dakwa Najib, adalah tidak betul untuk mencanangkan bahawa rakyat perlu membayar atau menanggung hutang 1MDB.
Menurutnya lagi, 1MDB juga membiayai pembinaan dan proses menaik taraf pangkalan anggota pertahanan termasuk Pangkalan Udara Sendayan yang merupakan pangkalan udara terbesar di negara ini.
"Tidak pernah saya dengar Pakatan Harapan (PH) atau Perikatan Nasional (PN) pernah sebut," ujarnya.
Justeru, bekas perdana menteri itu mempersoalkan bagaimana rakyat boleh menangung hutang 1MDB sedangkan aset-aset itu boleh menambah pendapatan kerajaan dan rizab negara.
"Jadi, macam mana boleh timbulnya tohmahan bahawa rakyat yang akan menanggung hutang 1MDB?," soalnya.
#1Malaysia Development Berhad #Najib Razak #DoJ #wang rakyat
;