Tidak ada mana-mana individu mahu bergelar pelarian - Wakil Belia Rohingya

Astro Awani
Jun 24, 2022 23:43 MYT
Seorang pelarian, akan sentiasa memikirkan untuk kembali ke tanah tumpahnya sendiri suatu masa nanti. - Gambar hiasan/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Masa depan seorang pelarian penuh teka-teki dan hidup sehariannya umpama berada dalam sebuah penjara terbuka, kata Wakil Forum Pembangunan Belia Rohingya, Mohammed Farouque.
Katanya, tidak ada mana-mana individu yang mahu meninggalkan tanah kelahirannya kerana tidak ada jaminan kebebasan akan diperolehi seperti di negara sendiri.
Mohammed Farouque menjelaskan nasib etnik Rohingya di Myanmar amat menyedihkan dan disebabkan hal tersebut mereka mengambil keputusan untuk menjadi pelarian.
"Sebab mereka mendapat kesusahan dalam negara sendiri. Ada yang tidak boleh solat, ada kanak-kanak dibakar, adik perempuan dan mak kena rogol dengan askar.
"Kerana perkara-perkara ini, mereka perlu lari untuk selamatkan diri, bukan tidak sayang negara sendiri tetapi tidak selamat berada di negara sendiri.
"Namun menjadi pelarian bukan sesuatu yang dimahukan kerana sebagai seorang pelarian saya umpama dalam satu penjara, an open prison," katanya.
Jelas Mohammed Farouque, ketika memutuskan untuk meninggalkan negara senidri, pelarian hanya memikirkan risiko yang terpaksa dihadapi.
Seorang pelarian, jelas Mohammed Farouque, akan sentiasa memikirkan untuk kembali ke tanah tumpahnya sendiri suatu masa nanti.
"Semalam ada dibuat satu kempen yang diberi nama "we want to go back to our homeland", ini adalah kempen untuk menyatakan hasrat pelarian pulang ke negara asal.
"Seorang manusia ini, dalam hidupnya tidak kira sesiapa pun tidak mahu menjadi pelarian tetapi kami terpaksa menjadi pelarian," katanya lagi.
Mohammed Farouque bersyukur dan mengucapkan penghargaannya kepada kerajaan dan rakyat Malaysia atas layanan serta peluang yang diberikan kepada etnik Rohingya.
Wakil Forum Pembangunan Belia Rohingya berkata demikian ketika ditemubual dalam Agenda AWANI yang membincangkan topik Pengurusan Kebajikan dan Perlindungan Pelarian.
#Rohingya #pelarian #Malaysia #Indonesia #kebebasan #Myanmar #negara asal
;