Tidak ada barang kemas dibeli dari tukang emas Lubnan, kata peguam Rosmah

Astro Awani
Julai 10, 2018 14:17 MYT
Peguam Rosmah dalam satu kenyataan menjelaskan bahawa barangan kemas yang dinyatakan oleh syarikat itu hanya dihantar kepada Rosmah untuk dilihat. - Astro AWANI/Fail
Peguam kepada Datin Seri Rosmah Mansor hari ini menafikan dakwaan yang dibuat oleh sebuah firma tukang emas dari Lubnan, bahawa anak guamnya itu membeli barangan kemas dari syarikat tersebut.
Peguam K. Kumaraendran dan Geethan Ram Vincent, dalam satu kenyataan, menjelaskan bahawa barangan kemas yang dinyatakan oleh syarikat itu hanya dihantar kepada Rosmah untuk dilihat.
Kata mereka, tuduhan yang disebarkan bahawa barang-barang kemas yang disenaraikan oleh firma terbabit telah dibeli menggunakan dana yang dicuri, adalah tidak berasas dan tidak benar.
Untuk itu, syarikat guaman itu akan mengambil tindakan sewajarnya untuk melindungi kepentingan isteri bekas perdana menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak itu.
#barangan kemas #Geethan Ram Vincent #K Kumaraendran #lubnan #Malaysia #peguam #Rosmah Mansor