Ticket Hotline buat ujian 30 minit sebelum penjualan tiket seharusnya bermula - FAM
Astro Awani
Disember 7, 2018 11:04 MYT
Disember 7, 2018 11:04 MYT
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menjelaskan portal penjualan tiket Ticket Hotline yang diberikan hak untuk menjual 20,000 keping tiket pertama pertama final Piala Suzuki AFF 2018, melakukan ujian sistem 30 minit sebelum penjualan tiket yang sepatutnya bermula pada jam 9 pagi, sekali gus menyebabkan semua tiket berkenaan habis dalam masa yang singkat.
"Atas tindakan www.tickethotline.com.my yang melakukan ujian sistemnya setengah jam lebih awal bagi jualan aksi Final 1, Malaysia lwn Vietnam di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Selasa ini (11 Disember 2018) yang sepatutnya bermula 9 pagi tadi, 20,000 keping tiket telah pun habis terjual dalam masa sangat singkat sebentar tadi," jelas FAM menerusi akaun Facebook rasminya.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Setiausaha Agong FAM, Stuart Ramalingam, oleh kerana insiden itu, FAM akan menjual lagi 10,000 keping tiket hari ini.
Jumlah 10,000 tiket itu diambil separuh daripada kuota yang sepatutnya dijual esok (Sabtu, 8 Disember).
"Ini menjadikan hanya baki 10,000 keping akan dijual secara online 9 pagi Sabtu, sehingga habis kuota yang ditetapkan itu."
Seterusnya, baki 40,000 keping tiket lagi akan dijual secara fizikal bermula Ahad ini (9 Disember 2018).
Kenyataan ini menyusul rungutan ramai peminat yang mahu mendapatkan tiket berkenaan tetapi mengetahui ia sudahpun habis dijual dalam tempoh masa yang sangat singkat.
Sementara itu, Exco Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Christopher Raj nyata tidak berpuas hati dengan insiden tersebut dan mahu semakan ke atas perkhidmatan Ticket Hotline dibuat dan dibincangkan pada mesyuarat exco akan datang.