Tiba musim tengkujuh, bot fiber Haji Kip di Pulau Bruit laris

Bernama
Disember 2, 2021 10:39 MYT
Pekerja kepada pengusaha bot fiber melakukan proses mengukur saiz pada bahagian badan bot yang ditempah pelanggan. - Foto BERNAMA
PULAU BRUIT: Kipli Mahji dari Kampung Betanak di sini pernah terfikir adakah tindakannya berhijrah ke dalam bidang pembuatan bot fiber adalah betul, lebih-lebih lagi setelah sekian lama mencari rezeki sebagai nelayan.
Ini kerana Kipli, 56, yang lebih dikenali sebagai Haji Kip, bagaikan 'menganggur' selama hampir dua tahun kerana tiada langsung tempahan diterima setelah mengikuti kursus pembuatan bot gentian kaca di Kuala Baram, Miri selama dua minggu pada 2014 anjuran Jabatan Perikanan Sarawak.
Ia menguatkan lagi andaiannya bahawa percaturannya ketika menginjak usia setengah abad itu kurang tepat dan beliau hampir berputus asa, sehinggalah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) membawa sinar harapan dengan memberi kepercayaan kepadanya untuk membina 20 bot fiber pada 2016.
Ketika ditemui Bernama di bengkelnya di perkampungan nelayan itu, Haji Kip yang sedang sibuk menyiapkan bot fiber dengan dibantu tiga pekerjanya berkata disebabkan kekangan modal ketika itu, beliau terpaksa meminjam wang simpanan isterinya sebanyak RM15,000.
"Waktu itu saya memang buntu memikirkan kos membeli bahan-bahan, namun syukur kerana isteri pinjamkan modal dan LKIM pun ada membayar tunai untuk harga lima daripada 20 bot yang ditempah terlebih dahulu, jadi wang itu saya jadikan pusingan modal untuk membuat bot seterusnya," katanya.
Jelasnya bertitik tolak daripada situ, beliau tidak putus-putus menerima tempahan daripada orang ramai yang sering memuji kekemasan hasil kerja dan kualiti bot fiber yang dijual pada harga RM4,000 hingga RM15,000 itu dengan kebanyakan pelanggannya dari Tanjung Manis, Belawai, Bintangor dan Pulau Bruit sendiri.
Haji Kip berkata beliau tidak menang tangan menyiapkan tempahan lebih-lebih lagi ketika musim tengkujuh sekarang ini, selain perlu sering berulang-alik ke Sibu, Mukah atau ke Pekan Daro dengan menaiki feri pengangkut kenderaan dan penumpang, bagi mendapatkan bahan untuk membuat bot.
Ini memandangkan ketika ini Pulau Bruit, yang terletak di kawasan Dewan Undangan Negeri Semop dan Majlis Daerah Matu-Daro, hanya dihubungkan dengan menggunakan feri dari dua lokasi, iaitu dari Pengkalan Feri Muara Lassa dan dari Pengkalan Feri Batang Paloh.
Sementara itu, Haji Kip berharap pembinaan Jambatan Batang Paloh dan Jambatan Muara Lassa jika siap kelak, mampu menjimatkan masa perjalanan penduduk Pulau Bruit, malah yakin perusahaan bot fiber milik beliau mampu terus berkembang maju kerana pelanggan boleh datang dengan lebih mudah.
"Saya memang ada promosikan bisnes saya di Facebook. Dari luar Pulau Bruit ramai berminat nak datang bengkel saya tapi kerana perlu naik feri untuk ke sini, mereka kadang-kadang berfikir dua tiga kali untuk datang. Jadi kalau ada jambatan nanti memang mudahlah segala urusan boleh bergerak tanpa had masa," katanya yang mampu menyiapkan hingga sembilan tempahan bot sebulan.
Haji Kip juga mengakui masalah perhubungan di Pulau Bruit ketika ini, sedikit sebanyak melambatkan urusan harian penduduk di situ termasuk urusan perbankan dan kurier, memandangkan kemudahan tersebut tidak terdapat di pulau itu, menyebabkan penduduk yang perlu ke Pekan Daro atau Bandar Sibu adakalanya terpaksa beratur panjang untuk menaiki feri, khususnya ketika cuti persekolahan dan musim perayaan.
Jambatan Batang Paloh sepanjang 1.7 kilometer bernilai RM298.9 juta merentasi Sungai Batang Paloh manakala Jambatan Muara Lassa melibatkan kos berjumlah RM597.5 juta sepanjang 2.43 km.
Kedua-duanya yang dijangka siap 2023 merupakan sebahagian daripada projek pembinaan Jalan Pesisir Sarawak dan dibiayai sepenuhnya kerajaan negeri.
-- BERNAMA
#bot fiber #Haji Kip #nelayan #LKIM
;