Tiba masa untuk tolak politik tidak beretika - Ku Li
Haider Yutim
April 4, 2014 08:30 MYT
April 4, 2014 08:30 MYT
Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah menyeru masyarakat supaya menolak amalan politik yang tidak beretika dan sebaliknya memperjuangkan budaya politik yang berintegriti tinggi.
"Bagi saya, (kita) mesti memberikan tekanan (kepada ahli politik) dan mesti menegaskan bahawa kita tidak akan bertolak ansur lagi dengan politik yang tidak beretika.
"Kita mesti dengan jelas dan tegas memberitahu bahawa politik hendaklah diamalkan dengan integriti yang tinggi," katanya.
Tegas Tengku Razaleigh, politik itu tidak kotor tetapi yang kotor adalah orang politik.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis pelancaran buku 'Malaysia Kaya, Rakyat Miskin' tulisan Anas Alam Faizli, pada Khamis.
Tengku Razaleigh berpendapat politik berintegriti tinggi boleh dicapai dengan merombak sistem pendidikan daripada sistem yang mengutamakan keputusan peperiksaan kepada sistem yang memberi penekanan kepada pemikiran kritikal dan logik serta pembacaan umum.
"Kita mesti menyemak semula falsafah pendidikan untuk memberikan kepentingan yang sama kepada kegiatan dalam kelas dan di luar kelas dalam mendidik generasi muda Malaysia menjadi pemimpin," katanya.
Tengku Razaleigh membangkitkan isu politik beretika itu sebagai mengulas isu-isu semasa yang dibangkitkan dalam buku Malaysia Kaya, Rakyat Miskin itu khususnya mengenai Petronas dan pendidikan.
Menyentuh soal ekonomi, Tengku Razaleigh memuji falsafah serta perancangan pelan program sosial bagi Dasar Ekonomi Baru (DEB), serta menyifatkannya sebagai 'sangat adil dan baik'.
Namun kata beliau pelaksanaan dasar tersebut menjadi kelam kabut kerana terdapat unsur kronisme dan merentir oleh sesetengah pihak dan menurut beliau, akibatnya sasaran yang dibuat gagal dilaksanakan dalam tempoh masa yang ditetapkan.
Selain itu, Tengku Razaleigh juga menegur wang yang dibelanjakan syarikat petroleum negara, Petronas yang telah membantu banyak syarikat dan bank termasuk pembinaan menara berkembar KLCC dan juga Putrajaya yang menelan kos sebanyak hampir RM500 bilion.
Katanya wang sebegitu sebaliknya boleh digunakan dengan lebih produktif untuk program pesara bagi rakyat Malaysia seperti yang dilaksanakan di setengah negara Eropah utara.
Buku tulisan Anas itu merupakan himpunan esei beliau dalam setahun yang mengulas pandangannya tentang tenaga, ekonomi dan pendidikan di Malaysia.