Tiba masa untuk semakan dibuat bagi tangguh pilihan raya ketika krisis - ERC

Astro Awani
November 19, 2020 17:16 MYT
ERC, kata Ab Rashid menjunjung kasih atas perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk pengisytiharan proklamasi darurat di Batu Sapi. - Gambar Fail
KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan Raya (ERC) berpandangan sudah tiba masa untuk satu semakan menyeluruh dibuat berhubung undang-undang sedia ada bagi membolehkan pilihan raya, sama ada pilihan raya kecil ataupun pilihan raya umum ditangguhkan semasa krisis.
Pengerusi ERC, Tan Sri Ab Rashid Ab Rahman berkata, penangguhan itu termasuklah ketika krisis kesihatan, huru-hara dan bencana alam atau ketika keadaan yang membahayakan keselamatan negara.
Menurut Ab Rashid, ERC berpendapat, satu peruntukan khusus boleh dimasukkan ke dalam Perlembagaan Persekutuan dan Akta Pilihan Raya 1958 bagi memberi kuasa kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi mengambil tindakan-tindakan perlu apabila berlaku apa-apa keadaan krisis yang memudaratkan negara.
"ERC kekal berpandangan bahawa ciri-ciri asas pilihan raya demokratik tidak boleh diabai dan kaedah-kaedah yang sempurna mengikut undang-undang yang ada tidak harus diketepikan semata-mata untuk menyelesaikan sesuatu pilihan raya," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Khamis.
Menerusi kenyataan itu juga, ERC menjunjung kasih atas perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk pengisytiharan Proklamasi Darurat di Batu Sapi yang sekali gus membatal dan menunda Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Parlimen tersebut.
Menurut Ab Rashid, keputusan tersebut satu langkah yang tepat dan jelas sesuai dengan keadaan yang wujud ketika ini.
BACA: Agong isytihar darurat di Parlimen Batu Sapi, Sabah - Istana Negara
BACA: Sabah sokong isytihar darurat di Parlimen Batu Sapi - Hajiji
BACA; Persediaan PRK Batu Sapi dihentikan, SPR akan tetap tarikh baharu
Katanya, ERC menyifatkan keputusan itu sekali gus membantu mengekang dan menghalang daripada berlakunya gelombang keempat penularan wabak COVID-19 di Sabah dan seluruh negara.
"ERC berpandangan bahawa sementara kita harus menjunjung hak asasi yang diperuntukkan oleh Perlembagaan, terutama dari sudut pilihan raya demokrasi, kita juga perlu memberi keutamaan yang sama bagi menjaga kebajikan rakyat dan pengundi dan mengambil segala tindakan yang perlu agar tidak memburukkan lagi krisis kesihatan dan mengelakkan kehilangan lebih banyak nyawa akibat pandemik," kata beliau lagi.
ERC juga, kata Ab Rashid, menyambut baik jaminan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa PRK Batu Sapi akan diadakan segera apabila pandemik COVID-19 berakhir.
Jelas beliau, kenyataan Perdana Menteri itu membuktikan amalan pilihan raya demokrasi di negara ini akan terus terpelihara.
"Justeru itu, ERC yakin bahawa gelanggang pilihan raya yang adil akan disediakan apabila PRK membabitkan bahagian tersebut diadakan semula selepas COVID-19 berakhir," katanya lagi.
ERC yakin tempoh darurat di Batu Sapi itu akan digunakan oleh SPR untuk memperkemaskan segala mekanisme dan Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi memastikan PRK semasa bencana termasuk di bahagian Gerik, Perak dan Bugaya, Sabah kelak dapat diuruskan dengan efektif.
#ERC #Ab Rashid Ab Rahman #pilihan raya #pilihan raya umum #pilihan raya kecil #darurat #Batu Sapi
;