Tiba masa stesen, produksi televisyen wujudkan Jabatan Pematuhan Syariah - Idris

Bernama
Ogos 30, 2022 05:40 MYT
Idris berkata Jakim sentiasa bekerjasama dengan semua pihak industri dan telah menerbitkan garis panduan untuk rujukan. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Stesen dan produksi televisyen perlu mewujudkan Jabatan Pematuhan Syariah untuk menyemak, menapis dan memantau semua skrip serta kandungan sebelum ia disiarkan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad.
Beliau berkata Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sentiasa bekerjasama dengan semua pihak industri dan telah menerbitkan garis panduan untuk rujukan.
"Karya-karya seni atau program yang cuba menormalisasikan budaya yang bersalahan dengan syariat Islam dan nilai akhlak serta budaya masyarakat negara ini perlu dielakkan sama sekali. la mesti ditentang habis-habisan bermula daripada kita semua.
"Memang hiburan itu adalah satu fitrah, tetapi biarlah hiburan itu bertepatan dan berlandaskan agama dan syariat," katanya dalam satu hantaran di laman Facebook beliau pada Selasa.
Idris berkata hasil maklum balas serta pendapat daripada pemain industri penyiaran menerusi satu pertemuan yang berlangsung di Bangi, Selangor pada Selasa, beliau mendapati masih ramai yang suka serta mahukan rancangan dan siaran yang mempunyai kandungan berunsur Islamik dan bertepatan dengan syariat agama.
Menurutnya pertemuan itu adalah satu peringatan bersama untuk menjayakan agenda yang lebih baik dalam mendidik masyarakat terhadap isu-isu hiburan yang melampau dan tidak melihat kepada keuntungan sahaja, sebaliknya isu moral yang dibina untuk masyarakat terutamanya anak muda perlu dititik berat dalam dunia penyiaran.
"Saya mengambil peluang seluas-luasnya pada pertemuan yang sangat baik ini untuk (menyatakan) beberapa kerisauan saya dan kita semua tentang pelbagai aktiviti hiburan yang tidak menepati garisan Islam dalam sekitar sebulan dua ini, selain kerisauan kita terhadap kecenderungan masyarakat yang tidak dididik dalam berhibur.
"Semoga pertemuan dan perbincangan ini dapat memberi nafas baharu kepada dunia penyiaran negara terutama dalam penerapan nilai-nilai agama dan kandungan yang bertepatan dengan syariat," katanya.
-- BERNAMA
#patuh syariah #Stesen Televisyen #stesen TV #Jabatan Pematuhan Syariah #kandungan siaran #skrip #Idris Ahmad
;