Tiang konkrit jatuh dari treler, dua maut, dua cedera
Abd Razak Mohd Ali
Oktober 30, 2019 04:09 MYT
Oktober 30, 2019 04:09 MYT
Dua lelaki maut dan dua wanita cedera selepas kereta yang mereka naiki terbabit dalam kemalangan dipercayai susulan beberapa tiang konkrit terjatuh dari sebuah treler di Kilometer 257 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan berhampiran Terowong Menora dekat sini, pada Rabu.
Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, pihaknya menerima maklumat mengenai kemalangan itu pada 9.13 malam.
Katanya, kemalangan melibatkan beberapa kenderaan selepas dipercayai tiang konkrit jatuh dari treler dan terpelanting memasuki laluan bertentangan.
“Sebuah kereta jenis Honda telah melanggar tiang konkrit tersebut dan melibatkan dua orang tersepit manakala dua orang mangsa lagi telah dibawa ke hospital dengan menaiki ambulans,” katanya dalam satu kenyataan.
Maklumat awal menyatakan, kemalangan mengorbankan dua lelaki yang dikenali sebagai Leong Woei Sar, 34 tahun, dan Cheah Kim Seng, 60 tahun, manakala dua wanita cedera dikenali sebagai Cheah Mun Yee, 30 tahun, dan Cheah Mee Yee, 27 tahun.
Aliran trafik di kedua-dua arah dilaporkan sesak susulan kemalangan itu dan hujan renyai.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Razali Ismail mengesahkan kejadian.
Menurutnya, kemalangan melibatkan lima buah kereta dan sebuah lori.
#Cheah Kim Seng
#Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia
#JBPM Perak
#kemalangan maut
#Lebuhraya Utara Selatan
#Leong Woei Sar
#PLUS
#Terowong Menora
#tiang konkrit terjatuh
#treler