Tian Chua tarik balik rayuan, dipenjara sebulan

Bernama
September 29, 2017 05:38 MYT
Tian Chua menegaskan penerimaan hukuman penjara itu bukan satu pengakuan bersalah olehnya. - Gambar fail
Anggota Parlimen Batu Tian Chua akan menjalani hukuman penjara sebulan seperti yang diperintahkan oleh Mahkamah Sesyen kerana tidak mematuhi arahan polis.
Ini susulan langkah tidak dijangka anggota parlimen itu yang memutuskan untuk menarik balik rayuan terakhirnya terhadap sabitan dan hukuman ke atasnya.
Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang terdiri daripada Datuk Wira Mohtarudin Baki, Datuk Seri Zakaria Sam dan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil membenarkan Tian Chua untuk menarik balik rayuannya.
Mohtarudin yang mempengerusikan panel itu mengeluarkan waran komital terhadap Tian Chua dan memerintahkannya menjalani hukuman penjara tersebut bermula hari ini.
Tian Chua atau nama sebenarnya Chua Tian Chang, 54, dibawa keluar dari mahkamah oleh dua anggota polis selepas prosiding tamat.
Tian Chua didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen pada 23 Jan 2014 atas kesalahan enggan mematuhi arahan DSP A. Rajagopal agar meninggalkan kawasan Pulapol di Jalan Semarak pada 2.30 petang, 29 April 2012, sehari selepas perhimpunan Bersih 3.0.
Mahkamah menjatuhkan hukuman sebulan penjara dan denda RM1,000 terhadapnya dan dia membayar denda itu.
Tian Chua membuat rayuan di Mahkamah Tinggi namun ditolak pada 30 Nov tahun lepas.
Pada prosiding hari ini, peguamnya N. Surendran memaklumkan kepada mahkamah yang beliau diminta untuk tidak mewakili Tian Chua dan Tian Chua mahu membaca sendiri kenyataannya di hadapan mahkamah.
Tian Chua kemudian berdiri dan membaca kenyataannya sebelum memberitahu mahkamah yang dia menarik balik rayuannya.
“Saya mahu tekankan bahawa penerimaan hukuman penjara ini bukan pengakuan bersalah,” katanya.
-- BERNAMA
#enggan patuh arahan #Jalan Semarak #mahkamah #Mahkamah Sesyen #penjara #polis #tarik balik rayuan #Tian Chua