Tian Chua diperintah bela diri tuduhan beri ucapan berbaur hasutan
Bernama
Februari 24, 2016 12:50 MYT
Februari 24, 2016 12:50 MYT
Mahkamah Sesyen di sini hari ini memerintahkan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Tian Chua membela diri atas tuduhan memberi ucapan berbaur hasutan dalam satu ceramah di Dewan Perhimpunan Cina, tiga tahun lepas.
Hakim Abdul Rashid Daud membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Tian Chua atau nama sebenarnya Chua Tian Chang, 53, di akhir kes pendakwaan.
"Setelah meneliti prinsip undang-undang, mahkamah mendapati tertuduh mempunyai kecenderungan menghasut dalam ceramah itu dan pihak pendakwaan telah membuktikan satu kes prima facie terhadap tertuduh.
Dengan ini tertuduh diperintah membela diri atas pertuduhan yang diterimanya," kata Abdul Rashid.
Mahkamah kemudiannya menetapkan dua hari bermula 25 April ini untuk tertuduh membela diri.
Pada 29 Mei 2013, anggota Parlimen Batu itu didakwa memberi ucapan dalam ceramah dengan menyebut kata-kata menghasut bagi membangkitkan rakyat negara ini supaya mengubah kerajaan yang telah tertubuh mengikut undang-undang, dengan cara yang tidak sah.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor di Nombor 1, Jalan Maharajalela, Dang Wangi di sini antara 8.55 malam dan 11.15 malam, 13 Mei 2013.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 (Akta 15) dan boleh dihukum menurut Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara sehingga lima tahun, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Julia Ibrahim telah mengemukakan sebanyak empat saksi pendakwaan untuk memberi keterangan pada perbicaraan yang bermula pada 13 Jan lepas.
Tian Chua yang hadir pada prosiding hari ini diwakili peguam New Sin Yew.