Tian Chua dan empat yang lain didakwa menghasut

T K Letchumy Tamboo
Mei 29, 2013 15:28 MYT
Naib presiden PKR Tian Chua, ahli PAS Tamrin Ghafar dan aktivis Safwan Anang dan Haris Ibrahim hari ini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas pertuduhan hasutan.
Mereka didakwa di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 kerana memberi ucapan berbaur hasutan dalam satu ceramah.
Kesemua empat tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah ke atas kesalahan yang didakwa dilakukan di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor di Nombor 1, Jalan Maharajalela, Dang Wangi di sini antara 8.55 malam dan 11.15 malam, 13 Mei lepas.
Hakim Norsharidah Awang membenarkan mereka dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak RM5,000 seorang.
Walaubagaimanapun, menurut satu kenyataan dari Soliditari Mahasiswa Malaysia, Safwan enggan diikat jamin.
Tian Chua diwakili oleh N. Surendran manakala Haris pula diwakili oleh Malik Imtiaz Sarwar dan Gobind Singh Deo.
Manakala Tamrin dan Safwan diwakili oleh Ariff Azami Hussein.
Sabit kesalahan mereka boleh dikenakan hukuman penjara maksima selama tiga tahun, atau didenda RM 5,000 atau kedua duanya sekali.
Mahkamah menetapkan 2 Julai depan untuk sebutan semula kes.
Pada 23 Mei, Tian Chua, Haris dan Tamrin telah ditahan di bawah Akta Hasutan di Balai Polis Jinjang.
Ketiga-tiga mereka bagaimanapun dibebaskan pada keesokkan hari selepas Majistret Norashikin Sahat menolak permohonan reman oleh polis.
Sementara itu, aktivis politik Hishammuddin Rais turut didakwa atas tuduhan menghasut dibawah Akta yang sama.
Hishammudin juga dibenarkan diikat jamin sebanyak RM5,000 dan kesnya akan turut disebut pada 2 Julai.
#akta hasutan #Tamrin Ghafar #Tian Chua
;