Tiada yang boleh ambil alih peranan MCA di Malaysia - Tiong Lai

Madiha Abdullah
Mac 1, 2018 05:18 MYT
Liow Tiong Lai berpendirian, setiap parti komponen Barisan Nasional mempunyai tugas dan peranan masing-masing.-Foto Astro AWANI
Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai menegaskan, parti itu tidak pernah kabur dengan aspirasi dan matlamat sebenar kewujudan mereka.
Setiap parti komponen Barisan Nasional mempunyai tugas dan peranan masing-masing dan perkara itu tidak sepatutnya dijadikan isu oleh mana-mana pihak.
Hakikatnya, kesemua parti komponen termasuk MCA, merupakan wakil kepada satu-satu komuniti dan sudah menjadi tugas mereka untuk menjadi 'suara' demi menjaga kepentingan masyarakat yang diwakili.
"Kami sangat jelas dengan perlembagaan dan objektif parti. Kami akan terus bekerjasama dengan semua parti komponen demi masa depan dan mempertahankan negara.
"Sangat penting untuk kami memastikan keharmonian dan penyatuan dalam konteks negara berbilang bangsa ini. Tiada siapa boleh ganti tempat MCA dalam konteks ini kerana anda lihat MCA, MIC dan Umno, sama ada suka atau tidak, mereka mewakili kaum masing-masing di negara ini," katanya.
Tiong Lai bercakap pada sidang media selepas majlis sambutan Tahun Baru Cina dan perhimpunan bulanan Kementerian Pengangkutan di Putrajaya, di sini, hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Nazri Aziz tentang peranan MCA yang disifatkan tidak mewakili kaum Cina, seperti yang dilaporkan sebuah portal berita tempatan pada Rabu.
#Barisan Nasional #Cina #Liow Tiong Lai #majlis tertinggi #Malaysia #MCA #MIC #Nazri Aziz #perhimpunan #Putrajaya #Tahun Baru Cina #UMNO