"Tiada wartawan yang pernah diheret ke mahkamah" - Fahmi
Hasimi Muhamad
Mac 12, 2024 11:50 MYT
Mac 12, 2024 11:50 MYT
KUALA LUMPUR: Kementerian Komunikasi menegaskan Kod Eika Wartawan Malaysia yang dilancarkan baru-baru ini tidak mengekang wartawan daripada membuat pelaporan atau menerbitkan bahan berita.
Menterinya, Fahmi Fadzil berkata, setakat ini tiada seorang wartawan pernah ditangkap, diheret ke mahkamah ataupun disoal siasat pihak berkuasa kerana membuat pelaporan ataupun menerbitkan berita mengenai skandal besar.
"Sebagai seorang demokrat, sebagai seorang yang berpegang kepada prinsip reformasi, saya dan pentadbiran ini tidak berhasrat mengekang hak bersuara khususnya hak para wartawan membuat pelaporan.
"Kebebasan media itu menjadi salah satu teras utama yang bukan hanya perlu kita sokong, tetapi kita juga perlu makmurkan lagi," katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat pada Selasa.
Beliau menjawab soalan tambahan RSN Rayer (PH-Jelutong) yang ingin tahu jaminan kerajaan dalam memastikan Kod Etika Wartawan Malaysia tidak akan mengekang mana-mana pengamal media untuk melaporkan atau membongkarkan sesuatu skandal.
Mengulas lanjut, Fahmi (PH-Lembah Pantai) berkata, kad perakuan media yang dikeluarkan oleh Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) dikeluarkan bagi memudahkan para media menjalankan tugas seperti menghadiri Sidang Parlimen.
Sementara itu menjawab soalan asal yang dikemukakan oleh Datuk Wan Saiful Wan Jan (PN-Tasek Gelugor), Fahmi berkata, Kod Etika Wartawan Malaysia bukanlah kod etika baharu, sebaliknya penambahbaikan kepada Etika Kewartawanan Malaysia 1989 yang diterbitkan oleh Institut Akhbar Malaysia.
Jelas beliau, Kod Etika Wartawan Malaysia dijangka terus memacu media di Malaysia sebagai sumber yang dipercayai rakyat dalam memberi maklumat tepat dan sahih tentang keadaan semasa negara.
"Kerajaan sentiasa komited dalam menjaga kebebasan pengamal media untuk menyampaikan maklumat dan pemberitaan tanpa halangan daripada pihak yang berkepentingan.
"Dalam konteks ini, undang-undang sedia ada adalah untuk memastikan ketenteraman awam tidak terancam. Justeru, pihak wartawan dan organisasi media perlu bertanggungjawab dalam menyebarkan maklumat yang sahih," ujar beliau.
Pada 20 Februari, Fahmi melancarkan Kod Etika Wartawan Malaysia versi baharu yang mengandungi lapan etika utama, antaranya wartawan bertanggungjawab menjadi suara masyarakat majmuk, hendaklah telus dan berintegriti serta berlaku adil dalam menyampaikan informasi.
#kod etika wartawan malaysia
#Kod Etika Wartawan Malaysia tidak kekang wartawan
#Kebebasan media di Malaysia
#Fahmi Fadzil