Tiada usul soal jawab di Parlimen, PH hormati Yang di-Pertuan Agong - Anwar Ibrahim

Fareez Azman
Mei 15, 2020 15:08 MYT
Menurut Anwar Ibrahim, Pakatan Harapan sepakat menghormati dan memuliakan institusi Yang di-Pertuan Agong yang dijadualkan bertitah pada sesi pembukaan penggal Parlimen. - Gambar fail
Tidak timbul usul soal jawab dalam sidang Dewan Rakyat yang akan berlangsung pada 18 Mei ini, tegas Ketua Pembangkang yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut beliau, Pakatan Harapan (PH) sepakat menghormati dan memuliakan institusi Yang di-Pertuan Agong yang dijadualkan bertitah pada sesi pembukaan penggal Parlimen.
"Sebenarnya tidak timbul usul soal jawab, sidang ini kita mesti menghormati dan memuliakan institusi Yang di-Pertuan Agong. Baginda datang, tanpa kira parti berikan penghormatan dan beradab bersopan memuliakan institusi raja dan tanggungjawab memenuhi Perlembagaan.
"Selain dari itu saya tidak jangka apa-apa boleh diadakan kerana Tuan Yang Dipertua akan panggil sidang, mendengar titah YDP Agong dan selepas itu majlis bersurai sehingga tarikh ditetapkan.
"Tidak boleh kita buat pencelahan dan tidak sesuai adab dan peraturan, kami dari pembangkang Pakatan Harapan akan membantah sekiranya ada apa-apa upaya menganggu perjalanan majlis tatkala raja menyampaikan titah," kata Ahli Parlimen Port Dickson itu dalam kenyataan yang disiarkan menerusi video di akaun media sosial Instragramnya pada Khamis.
Anwar berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan daripada netizen mengenai pendirian pembangkang khususnya PKR dan PH berhubung sidang Parlimen yang akan berlangsung pada Isnin ini.
Sebelum ni, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof berkata, sidang Dewan Rakyat yang dijadual berlangsung 18 Mei ini hanya akan menyaksikan Titah Diraja oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Menurut Mohamad Ariff, pindaan itu dibuat selepas menerima surat pemakluman daripada Perdana Menteri selaku Ketua Eksekutif, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
#Anwar Ibrahim #Dewan Rakyat #Muhyiddin Yassin #Pakatan Harapan #Parlimen #Parti Keadilan Rakyat #pembangkang #Perdana Menteri #PKR #Sidang Dewan Rakyat #Usul tidak percaya #video #Yang di-Pertuan Agong
;