Tiada usaha jatuhkan saya, 'kami keluarga bahagia' - Ahmad Faizal
Shafiq Noordin
November 28, 2018 12:48 MYT
November 28, 2018 12:48 MYT
Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yakin dakwaan kononnya wujud gerakan dalam kalangan beberapa Anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) yang ingin menggulingkan beliau adalah hanya sekadar desas-desus politik.
Ini kerana, katanya, hubungan beliau dengan kesemua 10 exco boleh disifatkan sebagai satu keluarga besar yang bahagia dan tiada unsur-unsur percubaan sabotaj dalam kalangan mereka setakat ini.
“Saya amat berpuas hati dengan komitmen dan prestasi yang ditunjukkan oleh kesemua exco saya. Jadi, biar kita tinggalkan perkara itu di situ sahaja. Tak perlu memperbesarkan lagi perkara ini.
“Jika betul pun dakwaan itu, walaupun saya rasa tiada, cerita kononnya ada perjumpaan dan sebagainya, makanya segala dibincangkan dalam perjumpaan itu tidak jadi. Jadi, buat apa komen?” katanya.
Beliau berkata demikian pada satu sidang media di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini di mana Mesyuarat Ketiga, Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-14 sedang berlangsung.
Ahmad Faizal berkata, beliau tidak akan memandang serius perkara itu kerana selaku Menteri Besar terdapat lebih banyak perkara penting yang perlu diberikan fokus.
“Melalui pemerhatian setakat ini tidak nampak wujud usaha gulingkan saya. Semua 10 exco bekerja sebagai satu pasukan yang baik, dengan fokus memberi yang terbaik kepada rakyat.
“Dakwaan kononnya kami sudah lama tak adakan Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri adalah tidak benar, kerana paling lama kami tidak adakan pun hanya dua minggu, itu pun kerana cuti raya," katanya.
Ahmad Faizal berpendapat, memandangkan perkara itu tidak mengganggu tugasnya mentadbir negeri, dakwaan itu boleh diketepikan.
“Walaupun jika wujud dalam hati mereka tidak setuju dengan saya dan sebagainya, namun ia tidak ditonjolkan atau mengacau kerja-kerja pentadbiran.
"Jadi, saya tak kisah. Ia perlu ditolak ke tepi kerana ada banyak lagi benda lebih penting dalam agenda kita,” jelas beliau.
Ahad lalu, Ketua Pembangkang Perak Datuk Saarani Mohamad mendakwa wujud gerakan dalam kalangan beberapa ahli exco kerajaan negeri yang ingin menjatuhkan Ahmad Faizal melalui usul undi tidak percaya.
Dakwa beliau lagi, beberapa ahli exco berkenaan juga telah cuba mendekati lima ADUN Barisan Nasional (BN) baru-baru ini dan menawarkan pelbagai habuan untuk mendapatkan sokongan mereka bagi membentuk kerajaan negeri sekiranya proses undi tidak percaya itu berjaya dilaksanakan.
#ADUN
#Ahmad Faizal Azumu
#Barisan Nasional
#desas-desus
#Exco
#guling
#kerajaan
#kerajaan negeri
#Menteri Besar
#pembangkang
#politik
#Saarani Mohamad
#sabotaj
#undi tidak percaya
#usul