Tiada unsur penderaan pada Muhammad Faris Syukur
Bernama
November 11, 2016 07:30 MYT
November 11, 2016 07:30 MYT
Hasil bedah siasat mendapati tiada unsur penderaan dalam kes kematian seorang bayi lelaki berusia lapan bulan yang pengsan di sebuah taska di Bandar Darulaman, dekat sini, Isnin lepas.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu Supt Abd Hadi Hassan berkata, pakar patologi mendapati terdapat pendarahan pada bahagian jantung bayi tersebut yang mungkin disebabkan oleh penyakit atau pun jangkitan.
"Tiada kesan penderaan di bahagian dalaman dan luaran badan bayi berkenaan.
"Menurut doktor, keputusan ujian darah, kuman dan tisu perlu diketahui untuk mendapatkan keputusan yang lebih lanjut," katanya ketika dihubungi Bernama pada Jumaat.
Isnin lepas, Muhammad Faris Syukur pengsan secara tiba-tiba ketika berada di taska selepas cirit birit dan muntah sebelum dikejarkan ke Hospital Jitra.
Bayi itu kemudiannya dipindahkan ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk rawatan lanjut dan disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 5 petang semalam.
Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. -- BERNAMA