Tiada unsur pemerdagangan, kanak-kanak dalam kontena akan dihantar pulang - Saifuddin Nasution
Siti Nur Aqilla Omar
Januari 20, 2023 13:10 MYT
Januari 20, 2023 13:10 MYT
JOHOR BAHRU: Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengesahkan tiada unsur pemerdagangan manusia terhadap seorang kanak-kanak warga asing yang ditemui dalam kontena di kawasan Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang, pada Selasa.
Susulan itu, Menterinya Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, laporan dan siasatan polis telah dijalankan berhubung kes itu dan kanak-kanak itu dalam proses penghantaran pulang.
Katanya, kanak-kanak yang hanya dikenali sebagai 'Fahim' itu ditemui dalam salah sebuah kontena yang dibawa sebuah kapal dari Bangladesh.
"Apabila kapal itu tiba di Pelabuhan Klang, kontena diturunkan dan didapati ada satu kontena yang ditemui seorang budak lelaki (di dalamnya). Nama dia Fahim.
"Dia (kanak-kanak) itu satu-satunya yang ditemui. Jadi, laporan polis dibuat, (kes) disiasat dan dia dibawa ke pemeriksaan kesihatan. Kebetulan, kanak-kanak ini demam.
"Dan kemudiannya, proses untuk dia dihantar pulang dibuat mengikut saluran undang-undang.
"Kita tidak buat kesimpulan kepada aspek permerdagangan manusia lagi kerana siasatan awal mendapati dia masuk (ke dalam kontena), kemudian tertidur, dan tiba sampai ke sini (Malaysia).
"Jadi, pihak berkuasa telah buat siasatan, pastikan dia sihat. Dan kemudian, proses penghantaran pulang," katanya.
Saifuddin Nasution berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja dan mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Penyelarasan Menangani Kesesakan di Tambak Johor di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di sini, hari ini.
Pada Khamis, tular video yang memaparkan seorang kanak-kanak lelaki warga Bangladesh ditemui dalam kontena yang tiba di dermaga Pelabuhan Barat, dipercayai terkunci selama enam hari di dalam kontena tersebut.
Siasatan polis mendapati, ia melibatkan kapal MV Integra yang bertolak dari Chittagong pada 12 Jan, membawa kontena mengandungi muatan barangan am, dan tiba di Pelabuhan Klang pada Selasa.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Klang Selatan ACP Cha Hoong Fong berkata, berdasarkan keterangan mangsa, kanak-kanak itu menjelaskan semasa bermain bersama kawan di Chittagong, dia telah masuk ke dalam kontena dan terkunci sehingga ditemukan oleh pihak pengadu di Pelabuhan Barat.
#Pelabuhan Barat
#pemerdagangan manusia
#Saifuddin Nasution Ismail
#kanak-kanak warga Bangladesh dalam kontena