Tiada unsur jenayah dalam kes dua adik beradik rentung di Melaka
Astro Awani
Oktober 24, 2015 21:11 MYT
Oktober 24, 2015 21:11 MYT
Siasatan awal terhadap dua beradik yang rentung di bilik tidur sebuah rumah di Taman Tanjung Minyak, Melaka pada Jumaat membuktikan tidak wujud unsur jenayah dalam kes tersebut.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu, Nur Maisarah Balqis Rosghazali, 7 dan adiknya Nur Qhalisha, 6, ditemui rentung dalam keadaan berpelukan oleh anggota bomba yang melakukan kerja-kerja pemadaman api.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner Kamaluddin Kassim berkata, setakat ini, pihaknya tidak menemui sebarang unsur jenayah yang menyebabkan berlakunya kebakaran itu.
Sementara itu, jenazah kedua-dua mangsa akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Tanjung Minyak selepas proses bedah siasat di Hospital Melaka.
Ibu mangsa yang sebelum ini bertugas sebagai jururawat di Arab Saudi tiba di tanah air pada Sabtu dan sempat melihat jenazah untuk kali terakhir.
Tinjauan ke rumah mangsa mendapati, pasukan forensik yang terdiri daripada pakar dan pegawai perubatan dari hospital Melaka turut berada di lokasi selain anggota dari unit forensik bomba.
Difahamkan, bapa kedua adik beradik yang terkoban itu kini dirawat di unit rawatan rapi Hospital Melaka turut mengalami kecederaan pada tangannya, dipercayai ketika cuba menyelamatkan anak-anak perempuannya.