Tiada unsur dera bayi lemas dalam selimut di rumah pengasuh - Polis
Sinar Harian
Disember 10, 2024 11:15 MYT
Disember 10, 2024 11:15 MYT
JASIN: Siasatan awal polis mendapati tiada unsur penderaan dalam kes kematian bayi lelaki berusia enam bulan ketika dalam jagaan pengasuhnya pada pagi Isnin.
Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintenden Ahmad Jamil Radzi berkata, pemeriksaan yang dilakukan terhadap bayi terbabit tidak menemukan sebarang unsur penderaan atau kecederaan fizikal ditemui pada tubuh mangsa.
Menurutnya, bagaimanapun pihaknya masih menunggu laporan bedah siasat bagi mengetahui punca kematian mangsa.
"Setakat ini, pengasuh tidak direman namun bergantung kepada laporan kimia dan hasil bedah siasat yang akan diperoleh nanti," katanya kepada pemberita di sini pada Selasa.
Media pada Isnin melaporkan seorang bayi lelaki maut selepas ditemukan tidak sedarkan diri dalam keadaan terlentang dipercayai akibat lemas dalam selimut ketika berada dalam jagaan pengasuhnya di Merlimau, Jasin.
Dalam kejadian lebih kurang jam 11.30 pagi itu, pengasuh wanita berusia 27 tahun mendapati muka bayi berkenaan, Harraz Noah Nazrul Nizam telah dilitupi selimut.
Bapa bayi, Nazrul Nizam Mohd Tahar, 29, berkata, dia mengetahui kejadian yang menimpa anak sulungnya itu ketika dihubungi isteri Ainol Izzah Raslan 25, kira-kira jam 11.40 pagi. - Sinar Harian