Tiada unsur bunuh diri dalam insiden lelaki maut digilis ERL - polis
Syafique Shuib
Jun 2, 2015 08:16 MYT
Jun 2, 2015 08:16 MYT
Pihak polis mengesahkan lelaki yang dijumpai mati dekat Stesen Express Rail Link Sdn Bhd (ERL) Bandar Tasik Selatan pagi Ahad adalah seorang lelaki dari India.
Ketua Polis Daerah Cheras ACP Chong Kok Sin dalam satu kenyataan berkata identiti mangsa dikenal pasti sebagai Jagdish Singh berusia 39 tahun.
Perkara ini disahkan apabila pihak polis merakam percakapan dengan seorang saksi iaitu pemilik kedai runcit di Kota Warisan, Salak Tinggi yang mengakui menyimpan pasport milik mangsa.
“Mangsa telah cagarkan pasport beliau kerana tidak mampu bayar hutang pembelian barang runcit.
"Kali terakhir saksi berjumpa dengan mangsa adalah pada jam 1 tengah hari Sabtu kerana mangsa mahu mengambil pasportnya kembali tetapi saksi terlupa di mana pasport itu disimpan dan meminta mangsa datang semula pada Isnin,” kata ACP Kok Sin.
Tambahnya, mangsa sering datang ke kedai runcit itu dan dikatakan seorang kaki botol.
Sementara itu, seorang lagi saksi dihubungi pihak polis setelah nombor telefonnya dijumpai tertulis di atas kertas yang disimpan mangsa.
“Saksi itu mengenali mangsa di Kota Warisan di kawasan Salak Tinggi dan mangsa memberitahunya tentang kesusahan hidup dan merindui isteri dan anaknya di India.
"Saksi mengakui mangsa ada meminta pertolongan membayar hutang RM150 kepada pemilik kedai runcit kerana mahukan pasportnya kembali,” tambahnya.
Hasil siasatan turut mendapati bahawa mangsa berjalan di landasan tren ERL kerana hendak ke KL Sentral, dan tiada unsur bunuh diri.
"Berdasarkan tiket ditemui dengat mangsa, beliau dipercayai salah seorang penumpang ERL dari Salak Tinggi, Sepang yang dibeli kira-kira pada jam 6.28 petang pada 30 Mei.
"Dipercayai mangsa menghala ke KL Sentral tetapi telah turun di TBS Bandar Tasik Selatan dan kerana kesilapan, mangsa berjalan kaki menerusi landasan tren ERL untuk ke KL Sentral dalam keadaan gelap.
"Ini kerana jika mangsa melalui jalan raya, mangsa tidak tahu arah ke KL Sentral,” kata ACP Kok Sin.
Berdasarkan temu bual dengan pemandu ERL yang mengakui terlanggar sesuatu di KM7.4 menghala ke KL Sentral, mangsa dipercayai dilanggar pada kira-kira jam 8.20 malam Sabtu.
"Pemeriksaan awal di tempat kejadian kira-kira jam 11.50 pagi Ahad dapati mayat yang tidak berkepala dengan kecederaan teruk dibahagian badan di aras rel. Kepala dijumpai di dalam longkang dan tangan di atas rel,” tambah Kok Sin.