Tiada 'U-turn', UEC akan diiktiraf
Sinar Harian
Julai 12, 2018 17:27 MYT
Julai 12, 2018 17:27 MYT
Kerajaan akan meneruskan rancangan untuk mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) selaras manifesto Pakatan Harapan pada pilihan raya umum lepas.
Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik menegaskan, pihaknya tidak akan membuat ‘pusingan u’ atau dilihat flip-flop dalam perkara itu.
Beliau berkata, dalam Harapan, perkara tersebut tidak mempunyai percanggahan meskipun ditentang banyak pihak.
“Saya rasa tiada sebarang percanggahan antara kita dalam perkara ini. Yang bercanggah hanya antara pihak BN. Umno kata lain, (Datuk Seri) Wee Ka Siong kata lain, MCA kata lain dan (Datuk Dr.) Asyraf Wajdi Dusuki kata lain,” katanya.
“Beliau ditemui selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan dan Majlis Ramah Mesra Kementerian Pendidikan, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini hari ini.
Mengulas mengenai jangka masa yang mungkin diambil bagi mengiktiraf UEC, Maszlee dengan berseloroh mengatakan bahawa ia tidak akan mengambil masa selama 60 tahun seperti BN.
Pakatan Harapan sebelum ini memberi jaminan akan mengiktiraf UEC jika menang pilihan raya umum Ke-14 yang mana langkah itu dilihat selaras dengan pendirian gabungan itu.
Maszlee sebelum ini menyatakan komitmen Kementerian Pendidikan tidak akan menggadaikan bahasa Melayu dan mengkaji secara holistik sebelum membuat keputusan berhubung pengiktirafan sijil tersebut.
#Berita Pendidikan
#Dr Maszlee Malik
#IKTIRAF UEC
#isu semasa
#Kementerian Pendidikan
#Manifesto Pakatan Harapan
#Pakatan Harapan
#Sijil Peperiksaan Bersama
#Terkini Astro AWANI