Tiada tong sampah di Pintasan Saloma: Ubah mentaliti rakyat Malaysia - PKB
Wan Syamsul Amly
Februari 16, 2020 08:08 MYT
Februari 16, 2020 08:08 MYT
Rakyat perlu menghargai kewujudan Pintasan Saloma dengan menerap mentaliti menjaga kebersihan tanpa tong sampah yang dilaksanakan di lokasi berkenaan.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kampong Bharu (PKB), Datuk Zulkurnain Hassan berkata, kawasan ikonik itu sendiri merupakan tumpuan pejalan kaki selain lokasi mengambil gambar Menara Berkembar Petronas (KLCC) dari sudut yang menarik.
"Di atas jambatan memang kita tidak letak tong sampah, tempat ini kita tidak benarkan orang makan-makan, minum-minum.
"Kita mahu semua pengunjung yang menggunakan Pintasan Saloma ini bergembira, berjalan dari Kampong Bharu dan ke KLCC.
"Kita tidak mahu orang berhenti makan dan sebagainya, kita sudah letakkan papan tanda.
"Biasalah di Malaysia, Kuala Lumpur ini, elemen itu tidak dapat dielakkan. Berkenaan kekotoran itu, dalam pengetahuan kita, ia berlaku pada tengah malam," katanya.
Sebelum ini, tular di media sosial pandangan netizen yang berang dengan keadaan kotor di Pintasan Saloma atau Saloma Link selepas tidak sampai seminggu dibuka.
Rata-rata berpandangan, ia membuktikan mentaliti rakyat masih kelas ketiga.
Tempoh percubaan Pintasan Saloma yang baru sahaja dibuka 5 Februari lalu, menghubungkan pejalan kaki berdekatan stesen LRT Kampung Baru ke Menara Berkembar Petronas (KLCC).
Menelan belanja sebanyak RM31 juta, jambatan itu memiliki jarak 370 meter merentasi Lebuhraya Bertingkat Ampang Kuala Lumpur (AKLEH).
Dalam pada itu kata Zulkurnain, dua lokasi tumpuan disediakan untuk memudahkan pengunjung mengambil gambar berlatar belakangkan KLCC.
"Dalam perancangan ini, Pintasan Saloma ada dua tempat di mana orang boleh berhenti dan melihat pandangan KLCC. Satu di Anjung Saloma dan satu lagi di Anjung Kampong Bharu.
"Dua tempat ini sudah dirancang dan ada ruang tambahan untuk pengunjung berswafoto dan sebagainya," jelasnya.
Sebahagian 69 meter Pintasan Saloma dibina merentasi Akleh.
Reka bentuk bumbungnya berdasarkan konsep sirih junjung bertujuan mengadaptasikan ciri-ciri warisan Melayu yang merupakan teras pembangunan semula Kampong Bharu.
Konsep reka bentuk itu juga bersesuaian dengan fungsi teduhan laluan pejalan kaki berkenaan.
#Ampang
#Kampong Bharu
#Kampung Baru
#kebersihan
#KLCC
#kotor
#LRT
#Melayu
#Menara Berkembar Petronas
#mentaliti
#pejalan kaki
#Petronas
#pintasan saloma
#rakyat
#rakyat kelas ketiga
#Saloma Link
#tong sampah
#warisan Melayu
#Zulkurnain Hassan