Tiada toleransi jika terlibat rasuah - Mustafar
Anthea Yap
Januari 10, 2017 17:59 MYT
Januari 10, 2017 17:59 MYT
“Tiada toleransi jika terlibat rasuah”, itu amaran Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia, Datuk Seri Mustafar Ali kepada kakitangannya yang terlibat dengan rasuah.
Beliau mengaku terdapat kakitangannya yang terlibat rasuah namun pada masa sama, masih ramai antara mereka yang berurusan dengan jabatan itu yang cuba memberi rasuah.
Sehubungan itu, Mustafar juga memberi amaran keras kepada pemberi rasuah.
“Tetapi sekali lagi saya sebutkan dalam masa mengambil tindakan dalam pegawai dalaman, kita juga mahu memastikan orang di luar sana diberi amaran.
“Saya memberi amaran sekali lagi pemberi akan diambil tindakan, penerima begitu juga.
“Ini kerana sekiranya tidak ada pemberi maka tidak ada penerima, maka ia dapat dikurangkan”, katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan Imigresen Malaysia dan Amanat Tahun Baharu 2017 di sini hari ini.
Pada tahun lepas, seramai 32 kakitangan jabatan itu telah dipecat kerana terlibat dengan pelbagai kesalahan termasuk rasuah.