Tiada toleransi buat mereka yang menyeleweng kediaman PPR - DBKL
Bernama
April 19, 2016 11:19 MYT
April 19, 2016 11:19 MYT
Tiada toleransi kepada penyewa asal kediaman Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) yang sanggup menyewakan kediaman mereka kepada pendatang asing, semata-mata kerana ingin mendapatkan untung atas angin.
"Kami jumpa, kami ambil balik rumah!," demikian amaran Pengarah Eksekutif Pembangunan Ekonomi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Datuk Mohd Sauffi Mohamad, yang kecewa dengan tindakan segelintir penyewa menyeleweng kemudahan disediakan kerajaan.
Menurut Mohd Sauffi, berdasarkan bancian yang dilaksanakan tahun lepas, pihaknya mendapati daripada 46,454 unit rumah PPR dan PA, 36 peratus daripada unit itu (16,723) dikhuatiri disewakan oleh penyewa asal kepada orang lain.
Ini kerana, ada antara penyewa unit itu tidak bekerjasama, dihuni oleh orang lain (warga tempatan), dihuni warga asing, dan rumah kosong ketika proses bancian itu dilaksanakan.
"Sikap penyewa beginilah yang membingungkan kami. Tindakan itu bukan sahaja salah dari segi undang-undang, tetapi membantutkan hasrat kerajaan untuk membantu golongan yang memerlukan.
Mohd Sauffi berkata, pada tahun ini sahaja sehingga bulan Mac, pihaknya telah merampas 150 unit rumah PPR dan PA ekoran tindakan penyewa asal menyewakan unit mereka kepada orang lain.
Malah tahun lepas sahaja 490 unit telah dirampas dan nama penyewa asal telah disenarai hitamkan.
Beliau berkata pihaknya berazam untuk terus melaksanakan penguatkuasaan secara bersepadu ke atas penyewa yang melanggar syarat perjanjian sewa kediaman berkenaan.
Dalam mencari sejauh mana kebenaran ini, penulis sendiri menyertai salah satu operasi yang dikendalikan oleh Mohd Sauffi pada 13 April lepas untuk menjejaki penghuni warga asing di rumah PPR.
Operasi yang bermula pada jam 11 malam sehingga 2.30 pagi di PPR Intan Baiduri, Selayang berjaya mengesan empat unit yang didiami oleh penghuni tidak sah (warga tempatan) manakala seunit disewakan kepada warga asing.
Hasil perbualan antara penulis dan pekerja asing itu, mendapati dia menyewa rumah terbabit dengan kos RM300 sebulan sejak empat bulan lepas.
Dia yang hanya bekerja sebagai pembantu kedai di sebuah pasar raya bagaimanapun enggan mengulas lebih lanjut jumlah penghuni rumah terbabit, namun berdasarkan pemerhatian penulis, bilangan kasut yang ada di rumah itu seolah-olah terdapat hampir tiga penghuni di unit berkenaan.
Kesemua unit yang didapati melanggar syarat perjanjian penyewaan akan ditarik balik oleh pihak DBKL yang mana unit yang didiami warga asing itu, mendapat notis keluar dan sita pada malam itu juga, manakala empat unit yang didiami oleh penghuni tidak sah (warga tempatan) diberi notis untuk mengosongkan rumah dalam tempoh sebulan.