Tiada tol bagi Lebuh raya CSR - Rosnah
Bernama
November 8, 2017 14:56 MYT
November 8, 2017 14:56 MYT
Lebuh raya Central Spine (CSR) sepanjang 411 kilometer yang menghubungkan Pahang ke Kota Bharu, Kelantan tidak akan dikenakan tol, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.
Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata ia turut merangkumi Lebuh raya Kota Bharu-Kuala Krai, melibatkan laluan sepanjang 61.36 km yang merupakan sebahagian daripada projek CSR.
"Alhamdulillah, ingin saya menyatakan Lebuh raya Central Spine Road dan juga Lebuh raya Kota Bharu yang menghubungkan Kuala Krai tidak akan dikenakan tol," katanya ketika sesi soal jawab pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Kamarudin Jaffar (PKR-Tumpat) yang ingin tahu adakah kerajaan merancang untuk mengenakan tol apabila Lebuh raya Kota Bharu-Kuala Krai siap kelak.
Menjawab soalan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali (BN-Bagan Serai) mengenai penyelenggaraan lebuh raya itu, Rosnah berkata peruntukan bagi kos penyelenggaraan dibuat oleh kerajaan sebagaimana penyelenggaraan bagi jalan raya persekutuan.
Rosnah berkata projek Lebuh Raya Kota Bharu-Kuala Krai itu dilaksanakan secara berperingkat bermula daripada Rancangan Malaysia ke-10 (RMK10).
Beliau berkata pakej 1B iaitu dari Pasir Hor ke Kadok sepanjang 7 km yang bermula April 2014 dijangka siap Februari 2018, pakej 2A dari Kadok ke Ketereh sepanjang 6.85 km pula akan siap pada November 2018 dan pakej 2B dari Ketereh ke Kok Lanas sepanjang 6.2 km telah pun dikeluarkan surat setuju terima pada 3 Nov lalu.
"Pelaksanaan fizikal projek pakej-pakej lain dijangka dilaksanakan secara berperingkat dalam RMK11, tertakluk kepada kelulusan agensi pusat," katanya.
-- BERNAMA
#Central Spine Road
#CSR
#Dewan Rakyat
#Kamarudin Jaffar
#Kota Bharu
#Lebuh raya Central Spine
#Pahang
#Rosnah Abdul Rashid Shirlin
#tol