Tiada tindakan semberono dalam hubungan diplomasi antarabangsa - Reezal Merican

Bernama
September 29, 2015 15:50 MYT
REEZAL MERICAN: Semuanya dilakukan dengan penuh disiplin pentadbiran dan sejajar dengan amalan biasa Kementerian Luar. -Gambar fail
Tidak ada tindakan semberono yang diambil dalam perkara yang melibatkan hubungan diplomasi antarabangsa, demikian tegas Timbalan Menteri Luar Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.
Reezal Merican dalam satu kenyataan di sini hari ini berkata keputusan memanggil Duta China di Malaysia Dr Huang Huikang dibuat oleh Wisma Putra setelah mendapat persetujuan Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman dan setelah berbincang dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
"Semuanya dilakukan dengan penuh disiplin pentadbiran dan sejajar dengan amalan biasa Kementerian Luar," katanya.
Reezal Merican berkata adalah malang dan tidak benar sama sekali untuk membuat andaian bahawa beliau sebagai Timbalan Menteri telah membuat keputusan sendiri tanpa mengikut prosedur protokol Wisma Putra.
"Saya amat kesal apabila ada pihak tertentu yang melemparkan tuduhan yang tidak berasas sehingga merumitkan usaha Wisma Putra untuk mengendalikan isu berkenaan secara baik, tegas dan berhemah," katanya.
Reezal Merican berkata adalah menjadi kewajiban buatnya untuk merujuk Menteri Luar dan pengurusan kanan Wisma Putra dalam semua hal dan perkara.
"Walaupun mungkin saya masih baru di dalam pentadbiran, namun disiplin pengurusan dan tatakelola kementerian sentiasa saya letakkan pada kedudukan yang paling utama," katanya.
Reezal Merican turut menegaskan bahawa Wisma Putra diterajui oleh mereka yang mempunyai kemampuan untuk menilai keperluan sesuatu tindakan diambil, selari dengan kepentingan dan maruah Malaysia di persada antarabangsa.
"Tindakan meremehkan keputusan kolektif yang dibuat di Wisma Putra adalah satu tindakan yang lemah, cetek dan cuai," katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa tidak ada kepentingan peribadi apabila membuat sesuatu keputusan di Wisma Putra.
"Ia dilakukan atas kesedaran bahawa Malaysia adalah sebuah negara berdaulat dan maruahnya tidak wajar diinjak oleh mana-mana negara asing sekali pun," katanya.
Seperti yang ditegaskan Menteri Luar dalam kenyataannya semalam, Reezal Merican berkata memanggil Duta China untuk memberi penjelasan kepada Wisma Putra adalah amalan biasa.
"Yang luar biasa dan dianggap tidak 'berprotokol' adalah apabila anggota pentadbiran kerajaan sendiri yang 'melompat' dan mula membuat tuduhan longgar terhadap tindakan yang diambil Wisma Putra," katanya.
Laporan sebelum ini menyebut tindakan memanggil Huang ke Wisma Putra bertujuan meminta penjelasan daripada beliau tentang kenyataan yang dibuat semasa lawatan beliau ke Jalan Petaling baru-baru ini.
#Dr Huang Huikang #Kementerian Luar #Reezal Merican #Wisma Putra
;