Tiada tindakan polis terhadap penggunaan kas-kas

Anthea Yap
April 14, 2016 17:09 MYT
Secara saintifik, kandungan morfin dalam kas-kas adalah sangat rendah dan risiko ketagihan tidak signifikan. - Gambar fail
Polis tidak pernah melarang penggunaan kas-kas dalam makanan.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, pengambilan rempah itu dalam makanan adalah sedikit dan tidak memudaratkan kesihatan.
"Ia tidak memudaratkan orang ramai yang menggunakan kas-kas janganlah makan sekilo, kalau makan sekilo tu mungkinlah.
''Tapi orang masak sup, masak kari kepala ikan, hanya sedikit kas kas dibubuhkan. Jadi janganlah risau kas-kas sudah jadi sebahagian daripada ramuan masakan dan ia rempah ratus kita.
"Polis tidak akan ambil tindakan terhadap orang yang masak dan pakai kas-kas itu", katanya pada sidang media selepas Program Derma Darah di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) di sini, hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Kementerian Kesihatan yang tidak bercadang untuk mengharamkan penggunaan kas-kas sebagai rempah dalam masakan.
Semalam, Menterinya, Datuk Seri S. Subramaniam berkata, secara saintifik, kandungan morfin dalam kas-kas adalah sangat rendah dan risiko ketagihan tidak signifikan.
Ia juga disahkan selamat oleh Bahagian Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA).
Bagaimanapun, Kementeriannya akan membuat pemantauan bagi memastikan tidak berlaku penyalahgunaan atau pengambilan secara berlebihan.
#kas-kas #Khalid Abu Bakar #rempah ratus #subramaniam
;