Tiada tindakan lanjut terhadap guru bergurau mengenai rogol
Astro Awani
Ogos 5, 2021 13:16 MYT
Ogos 5, 2021 13:16 MYT
KUALA LUMPUR: Polis mengesahkan tiada tindakan lanjut dikenakan terhadap seorang guru yang didakwa bergurau secara keterlaluan seakan-akan menggalakkan pelajarnya melakukan perbuatan rogol baru-baru ini.
Memetik laporan Sinar Harian, Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Shafa'aton Abu Bakar berkata, pihaknya menerima notis tiada tindakan lanjut (NFA) dari Timbalan Pendakwa Raya berhubung kes itu.
"Saya difahamkan Timbalan Pendakwa Raya mengeluarkan arahan NFA berhubung kes berkenaan," katanya ketika dihubungi pada Khamis.
Pada 24 April lalu, seorang guru Pendidikan Jasmani di sebuah sekolah di Selangor didakwa bergurau keterlaluan seolah-olah menggalakkan pelajarnya melakukan perbuatan rogol dalam sesi pendidikan itu.
Seorang pelajar perempuan berusia 17 tahun mendakwa pada mulanya pelajaran berjalan lancar dan mereka berbincang mengenai kesedaran gangguan seksual serta cara-cara menjaga diri ketika menghadapi gangguan tersebut.
Bagaimanapun, pelajar berkenaan mendakwa guru lelaki itu bergurau dan mula bercakap lucah.