Tiada tindakan diambil pihak berkuasa terhadap buku 'Becoming Hannah' - Saksi

Bernama
Februari 6, 2025 20:50 MYT
Dalam saman yang difailkan pada 2022, Hannah berkata Kamarul Zaman memuat naik dua hantaran Facebook, iaitu beliau mendakwa bahawa plaintif mempunyai motif untuk menyebarkan Kristian menerusi politiknya. - Gambar fail/Goodreads.com
KUALA LUMPUR: Bekas Pegawai Kanan Pusat Kajian Media Institut Strategik Islam Malaysia (IKSIM) memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini bahawa tiada tindakan diambil oleh Menteri Dalam Negeri dan Ketua Polis Negara terhadap buku Becoming Hannah: A Personal Journey.
Harizal Hassan, 45, berkata demikian ketika disoal balas peguam Sangeet Kaur Deo yang mewakili Hannah, pada perbicaraan kes saman fitnah difailkan Menteri Belia dan Sukan itu terhadap Pensyarah Universiti Utara Malaysia Dr Kamarul Zaman Yusoff selaku defendan, berhubung dua catatan Facebook mengenai buku tersebut pada Mei 2017.
Sangeet: Dalam negara ini, Menteri Dalam Negeri (MDN) dan Ketua Polis Negara (KPN) beragama Islam, jadi buku ini tidak menjadi masalah kepada mereka.
Harizal: Tidak Setuju.
Kepada soalan Sangeet, adakah mereka (MDN dan KPN) boleh mengambil tindakan terhadap buku tersebut, Harizal menjawab: "Boleh sekiranya mengancam tetapi setakat ini tiada tindakan diambil."
Saksi keempat defendan itu yang kini menguruskan sosial media seperti Facebook, Instagram dan TikTok bersetuju dengan Sangeet bahawa tiada tindakan diambil terhadap buku tersebut, walaupun IKSIM ada menjalankan pelbagai risikan dan mempunyai hubungan baik dengan pihak berkuasa.
Sangeet: Boleh Encik (Harizal) setuju dengan saya dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) ada bahagian terrorism dan risikan sosial untuk menjalankan siasatan dan anggota mereka lebih terlatih.
Harizal: Ada, tetapi tidak dinafikan IKSIM juga terlibat secara langsung.
Sangeet: Walaupun IKSIM ada menjalankan pelbagai risikan dan ada hubungan baik dengan pihak berkuasa, namun tiada tindakan diambil terhadap buku tersebut.
Harizal: Malangnya tiada.
Harizal turut bersetuju dengan peguam bahawa beliau tidak membuat laporan polis berhubung buku tersebut, namun berada di mahkamah hari ini untuk memberi keterangan.
Selepas saksi terakhir defendan itu memberi keterangan, Hakim Datuk Aliza Sulaiman menetapkan keputusan pada 30 Mei ini dan kedua-dua pihak perlu memfailkan hujahan bertulis sebelum atau pada 21 April.
Dalam saman yang difailkan pada 2022, Hannah berkata Kamarul Zaman memuat naik dua hantaran Facebook antara 10 dan 17 Mei, 2017, iaitu beliau mendakwa bahawa plaintif mempunyai motif untuk menyebarkan Kristian menerusi politiknya.
Pensyarah itu turut memetik biografi Hannah Becoming Hannah: A Personal Journey bagi memacu agenda Kristian dan turut mendakwa beliau berniat untuk mengubah Malaysia menjadi negara Kristian.
Dalam pernyataan pembelaannya, Kamarul Zaman berkata kedua-dua hantaran Facebooknya tidak berunsur fitnah dan beliau mempunyai tanggungjawab untuk memaklumkan kepada orang ramai mengenai kandungan buku itu, kerana bimbang mereka mungkin terpengaruh dengan Kristian.
-- BERNAMA
#Instagram #PDRM #Mahkamah Tinggi #TikTok
;