Tiada tanda penceroboh mahu serah diri

Astro Awani
Mac 8, 2013 19:04 MYT
PERKEMBANGAN OPS DAULAT, 8 MAC
Kumpulan pengganas dari Selatan Filipina yang menceroboh Sabah dan berkubu di dua kampung dekat Lahad Datu belum menunjukkan tanda-tanda mahu menyerah diri dan meletak senjata.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata, sehubungan itu, gerakan memburu saki-baki anggota kumpulan itu diteruskan.
"Selepas insiden pertempuran semalam sehingga 31 penceroboh ditembak mati, tiada tanda mereka mahu letak senjata api," katanya pada sidang media di Felda Sahabat 16, kira-kira 130km dari sini hari ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang meninjau markas 'Ops Daulat' di Felda Sahabat semalam berkata Malaysia menolak sebarang tawaran gencatan senjata dan menegaskan satu-satunya pilihan bagi penceroboh itu ialah letak senjata dan serah diri tanpa bersyarat.
Gerakan Ops Daulat masuk hari keempat hari ini dengan helikopter digunakan untuk menghantar anggota keselamatan ke lokasi sekitar bagi operasi menggeledah manakala jet-jet pejuang berlegar di udara membuat tinjauan.
Dalam pada itu, Ismail berkata, pihak keselamatan belum mengenal pasti identiti mayat seorang ketua penceroboh, dipercayai berpangkat jeneral, yang ditembak mati dalam pertempuran pada Khamis.
Beliau juga mengesahkan jeneral yang terbunuh itu bukan ketua kumpulan menggelar dirinya Raja Muda Sulu, Azimuddie Kiram.
"Kami masih mengenal pasti (identiti) berdasarkan pakaiannya tetapi beliau ialah ketua operasi pihak penceroboh."
Ismail juga menunjukkan kepada media gambar-gambar senjata yang ditemui daripada penceroboh yang ditembak mati.
Sementara itu, Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin berkata walaupun tiada pertempuran berlaku sejak semalam, ini tidak bermakna pihak musuh tidak lagi berada di kawasan itu.
"Operasi akan diteruskan," katanya.
Dalam pada itu, Ismail meminta orang ramai supaya jangan mudah percaya kepada maklumat yang tidak disahkan oleh pasukan keselamatan.
“Jika anda menerima apa-apa maklumat yang tidak pasti, jangan terus sebarkan atau merasa panik. Sila hubungi pasukan keselamatan terlebih dahulu bagi mengesahkan maklumat yang diterima itu,” kata Ismail.
Beliau mengulas khabar angin yang tersebar menerusi laman sosial media kononnya pihak penceroboh akan menyerang Kota Kinabalu dan Tawau dengan kekuatan seramai 700 orang.
Kata Ismail, maklumat itu tidak benar dan boleh menyebabkan keadaan huru-hara.
#Filipina #Lahad Datu #operasi daulat #Ops Daulat #Sabah #Sulu
;