Tiada syarat MP pembangkang sokong PM untuk dapat peruntukan

Bernama
April 19, 2024 17:49 MYT
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim beramah mesra dengan orang ramai di Gerai Kak Ngah Billion Bandar Teknologi Kajang untuk makan tengahari sebelum menunaikan solat Jumaat bersama rakyat di Masjid Bandar Teknologi Kajang hari ini. - BERNAMA
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan tohmahan pembangkang kononnya Ahli Parlimen mereka dikenakan syarat untuk menyokong Perdana Menteri bagi mendapatkan peruntukan.
Sebaliknya Perdana Menteri berkata perbincangan lebih menjurus kepada memastikan kestabilan kerajaan dan juga pertumbuhan ekonomi.
"Tidak ada syarat sokong PM seperti mana ditohmah oleh pembangkang. Kita beri mandat kepada Fadillah (Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof) dan jawatankuasa.
"Perbincangan supaya kerajaan stabil dan kita tumpu kepada pertumbuhan ekonomi yang menjamin keamanan, kestabilan," katanya ketika ditemui selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Bandar Teknologi Kajang di sini hari ini.
Semalam Fadillah dilapor berkata Majlis Pimpinan Tertinggi Sekretariat Kerajaan Perpaduan pada dasarnya bersetuju untuk mempertimbang menyalurkan peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang.
Fadillah berkata satu draf memorandum persefahaman (MoU) akan dirangka terlebih dahulu dan dipanjangkan kepada pihak pembangkang, sebagai langkah perundingan seterusnya.
-- BERNAMA
#ahli Parlimen #MP pembangkang #peruntukan #sokong PM #Perdana Menteri Anwar Ibrahim
;