Tiada syarat baharu untuk pemandu lori perbaharui lesen memandu

Bernama
Oktober 29, 2019 20:25 MYT
Proses pembaharuan lesen untuk setiap pemandu lori adalah sama seperti prosedur biasa, tanpa sebarang perubahan. - Gambar hiasan
Kementerian Pengangkutan menafikan ada mengenakan syarat baharu berhubung kesihatan diri terhadap pemandu lori yang ingin memperbaharui lesen memandu seperti dakwaan yang tular di media sosial.
Timbalan Menteri berkenaan Datuk Kamarudin Jaffar berkata proses pembaharuan lesen untuk setiap pemandu lori adalah sama seperti prosedur biasa, tanpa sebarang perubahan.
"Saya nak sebut di sini dengan jelas bahawa tidak ada apa-apa perubahan dasar yang dilakukan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berkaitan kesihatan.
"Isu berkaitan pengesahan kesihatan bukan dilakukan JPJ tetapi dilakukan doktor yang tertakluk di bawah satu kaedah ditentukan Kementerian Kesihatan," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini hari ini.
Kamarudin berkata demikian sebagai mengulas luahan pemandu lori yang mendakwa ditindas JPJ berikutan syarat baharu pembaharuan lesen yang dikatakan memerlukan keputusan pemeriksaan kesihatan.
Justeru itu, Kamarudin yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, berkata pemandu lori seharusnya tidak mudah percaya dengan dakwaan tidak berasas oleh pihak tidak bertanggungjawab sehingga menimbulkan kegelisahan dan kegusaran dalam kalangan mereka.
"Pastikan anda semua tidak sertai sebarang mogok," katanya sambil memberi amaran agar tiada mana-mana pihak menyebarkan maklumat tidak tepat.
Mengulas lanjut, beliau berkata kerajaan Pakatan Harapan (PH) sentiasa berusaha untuk memudahkan rakyat negara ini dalam setiap urusan terutamanya mencari pendapatan.
"Saya sedih kalau ini dijadikan isu politik. Dalam kerajaan PH, kita mahu tumpukan kepada rakyat, beri peluang mereka jana ekonomi.
"Kalau ada pihak yang ada niat jahat untuk pecah belah bawa isu perkauman, maka saya fikir ini perlu diambil tindakan," katanya.
-- BERNAMA
#JPJ #Kamarudin Jaffar #Kementerian Pengangkutan #lesen memandu #pemandu lori #syarat baharu
;