Tiada subjek baharu mengenai demokrasi - Teo

Bernama
Julai 23, 2019 22:19 MYT
Teo berkata, antara lain, topik mengenai Perlembagaan Persekutuan akan dijadikan satu bab khusus dalam buku teks Sejarah Tingkatan Empat dengan isi kandungan sebanyak 17 muka surat. - Gambar fail
Tiada subjek baharu mengenai demokrasi dan Perlembagaan Persekutuan akan diperkenalkan pada sesi persekolahan tahun hadapan, kata Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching.
Sebaliknya, kurikulum dan silibus sedia ada akan ditambah baik termasuk menyemak semula kandungan buku teks dan peperiksaan bagi menjadikan belia lebih celik sistem demokrasi negara, katanya.
Ini termasuk menambah isi kandungan mengenai pilihan raya dalam buku teks Sejarah Tingkatan Empat daripada lima muka surat kini kepada 19 muka surat bagi kegunaan sesi persekolahan mulai tahun hadapan.
Beliau berkata demikian pada sesi Pertanyaan-pertanyaan bagi Jawab Lisan pada persidangan Dewan Negara di sini, hari ini bagi menjawab soalan tambahan Senator Khairul Azwan Harun yang mahu beliau mengesahkan mengenai subjek baharu berkenaan dalam persediaan negara membenarkan belia berumur 18 tahun mengundi buat pertama kali pada Pilihan Raya Umum akan datang.
Mengulas lanjut, Teo berkata, antara lain topik mengenai Perlembagaan Persekutuan akan dijadikan satu bab khusus dalam buku teks Sejarah Tingkatan Empat dengan isi kandungan sebanyak 17 muka surat.
"Kita memang dalam proses untuk tambah baik dan perkukuhkan pendidikan demokrasi dalam buku teks untuk Tingkatan Empat dan Lima. Untuk Tingkatan Enam pula, pendidikan demokrasi terkandung dalam subjek Pengajian Am dan Sejarah. Setakat ini, kita dalam proses untuk menyemak sukatan peperiksaan STPM (Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia)," katanya.
Sememangnya elemen mengenai demokrasi dan Perlembagaan Persekutuan telah diajar sejak Tahun Empat di sekolah rendah sehingga Tingkatan Enam dengan isi-isi kandungan yang berbeza.
-- BERNAMA
#buku teks sejarah #demokrasi #Dewan Negara #Khairul Azwan Harun #pendidikan #peperiksaan #Perlembagaan Persekutuan #pilihan raya umum #sekolah #subjek baharu #tambah baik #Teo Nie Ching
;