Tiada strategi keluar punca 'lockdown' berulang, terus berulang - Pakar
Harits Asyraf Hasnan
Julai 2, 2021 18:21 MYT
Julai 2, 2021 18:21 MYT
KUALA LUMPUR: Lockdown, Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), sekatan pergerakan atau apa nama sekalipun, ia hanya bertindak strategi penguat untuk melandai keluk jangkitan COVID-19.
Itu mesej tegas Pakar Epidemiologi dari Griffith University Australia, Dr Dicky Budiman berkenaan salah tanggap sama ada individu atau kerajaan yang berusaha melandaikan keluk COVID-19.
Menurutnya, ada negara yang melaksanakan 'lockdown' tanpa tindakan susulan yang wajar, iaitu tidak meningkatkan jumlah saringan dan sekatan yang benar-benar ketat.
"Lockdown yang ideal adalah pelaksanaan yang betul-betul tidak ada aktiviti lain kecuali perkhidmatan yang amat perlu seperti makanan, keselamatan dan kesihatan. Itu sahaja yang boleh.
"Selain daripada perkhidmatan tersebut, adalah tidak dibenarkan.
"Semua ini perlu dilakukan dalam tempoh sekurang-kurangnya dalam dua kali tempoh inkubasi atau lebih kurang empat minggu," katanya ketika ditemu bual Astro AWANI.
Ujarnya, cara pelaksanaan 'lockdown' setiap negara adalah berbeza, tetapi 'lockdown' yang dilaksana akan menjadi sia-sia sekiranya tidak ada tindakan susulan yang wajar.
"Namun, apa yang menjadi permasalahan dalam strategi 'lockdown' yang harus difahami masyarakat dan kerajaan adalah kadang-kala impak 'lockdown' tidak sama seperti yang diharapkan.
"Kalau tidak bersifat komprehensif serta mempunyai tindakan sokongan, ia hanya membebankan sesebuah negara kerana kajian menunjukkan kesan 'lockdown' di negara maju dan negara membangun terdapat banyak perbezaan," katanya.
Justeru, beliau berharap 'strategi keluar' dalam setiap 'lockdown' perlu tepat, kerana ada negara yang bertindak mengurangkan jumlah saringan apabila tempoh 'lockdown' ditamatkan.
"Tidak ada konsistensi dalam penerapan strategi, iaitu dalam aspek ujian, pengesanan, pengasingan dan kuarantin.
"Ini kerana semua aspek tersebut adalah bersifat pencegahan," jelas beliau lagi.
#PKPD
#jangkitan
#lockdown
#Pelan Pemulihan Negara
#strategi keluar COVID-19
#lockdown COVID-19
#sekatan pergerakan penuh
#Dr Dicky Budiman