Tiada sistem cukai baharu dalam tempoh terdekat - Tengku Zafrul

Adie Sufian Zulkefli
Mac 20, 2021 08:32 MYT
Tengku Zafrul mendengar penerangan daripada Shahidan (kanan) ketika melawat ladang mangga harumanis selepas program perjumpaan bersama pengusaha mangga harumanis Perlis, hari ini. - Foto BERNAMA
ARAU: Kerajaan akan meneliti dan mengkaji terlebih dahulu semua jenis cukai yang bersesuaian untuk dilaksanakan dalam sistem ekonomi negara kelak, namun ia dijangka tidak akan dilaksana pada masa terdekat.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, walaupun ekonomi negara terkesan dengan penularan COVID-19, namun ia bukan masa sesuai untuk melaksanakan cukai baharu.
"Ini bukan masa untuk kemukakan cukai-cukai yang baharu... fokus kerajaan masa ini adalah untuk memulihkan ekonomi.
"Dari segi hasil tu memang terkesan kerana ekonomi kita pun terkesan tetapi tahun ini, insya-Allah, ekonomi kita akan lebih baik dan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dijangka meningkat antara 6.5 hingga 7.5 peratus dan hasil (negara) juga akan naik berbanding tahun lepas," jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perjumpaan Menteri Kewangan bersama pengusaha Mangga Harumanis Perlis di Dewan Pusat Khidmat Kubang Gajah dekat Arau, hari ini.
Tengku Zafrul berkata, dengan program vaksinasi yang bakal diselesaikan selewat-lewatnya akhir tahun ini berbanding jadual asal iaitu Mac tahun hadapan, ia secara tidak langsung dapat membantu pemulihan ekonomi negara dengan kadar segera.
Terdahulu, beliau bersama Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim bertemu dan beramah mesra bersama 50 pengusaha mangga harum manis.
Beliau juga turut meluangkan masa meninjau Projek Kelompok Mangga Harumanis Perlis di Kampung Alor Ara Timur.
#sistem cukai #Menteri Kewangan #Tengku Zafrul #ekonomi negara #KDNK #cukai #COVID-19 #Arau #Shahidan Kassim #mangga harumanis