Tiada siasatan kartel beras dibuka - MyCC
Amirul Aiman
Februari 28, 2025 14:15 MYT
Februari 28, 2025 14:15 MYT
Iskandar berkata, MyCC hanya menjalankan kajian umum mengenai industri beras dan padi negara.
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) menjelaskan hari ini pihaknya tidak menjalankan sebarang siasatan terhadap dakwaan kewujudan kartel beras.
Ketua Pegawai Eksekutifnya Iskandar Ismail berkata, suruhanjaya itu hanya menjalankan kajian umum mengenai industri beras dan padi.
“Menteri telah menyatakan di Parlimen bahawa tiada isu atau amalan persekongkolan bidaan.
"Oleh itu, kami tidak menjalankan siasatan terhadap mana-mana pihak. Kami hanya menjalankan kajian umum," katanya pada satu sidang media hari ini.
Kenyataan ini dibuat sebagai respons kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali yang menyatakan bahawa MyCC tidak mengenal pasti sebarang amalan anti-persaingan atau pelanggaran dalam kajiannya terhadap industri beras dan padi.
Armizan berkata, kajian yang bermula pada Februari tahun lalu dan selesai pada Oktober tahun yang sama tidak mendedahkan sebarang pelanggaran di bawah Akta Persaingan 2010.
Beliau turut memaklumkan bahawa tanggungjawab untuk menstruktur semula industri beras dan padi kini diserahkan kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.