"Tiada seorang pun anak saya pernah bekerja di Goldman Sachs" - bidas Najib

Umavathi Ramayah
Februari 23, 2022 17:30 MYT
Najib menafikan dakwaan anak-anaknya dijamin pekerjaan dengan bank pelaburan multinasional Amerika Syarikat, Goldman Sachs. - Gambar fail/Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menafikan dakwaan anak-anaknya pernah ditawarkan untuk bekerja dengan bank pelaburan multinasional Amerika Syarikat, Goldman Sachs.
Beliau berkata, keterangan bekas eksekutif Goldman Sachs, Tim Leissner, yang juga saksi pendakwaan kes bekas pegawai bank Goldman Sachs, Roger Ng pada Selasa dan laporan media tempatan memberikan bayangan seolah-olah beliau disogok oleh Goldman Sachs dengan tawaran kerja untuk anak-anaknya di bank pelaburan AS itu.
"Namun, ini tidak berlaku dan tiada seorang pun anak saya pernah ditawarkan pekerjaan di Goldman Sachs dan tidak pernah bekerja di bank AS itu.
"Itupun tawaran untuk bekerja, ya, bukan tawaran diberi projek-projek atau pun suapan wang," katanya dalam hantaran di Facebooknya di sini, pada Rabu.
Perbicaraan 1MDB | Pertemuan Blankfein bagi dapat jawatan anak Najib
Bagaimanapun, Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan itu menjelaskan, Leissner pernah memperkenalkan anak perempuannya untuk memohon pekerjaan di syarikat TPG Capital di Hong Kong yang mana tiada kaitan dengan Goldman Sachs.
Katanya, anaknya itu memang pernah bekerja selama setahun di TPG Capital tetapi hanya memegang jawatan junior sahaja.
“Saya pelik kenapa media-media mempermainkan isu pekerjaan bagi anak-anak saya sedangkan kenyataan Tim Leissner di mahkamah semalam juga termasuk tuduhan bahawa kelulusan BNM bagi 1MDB memindah dana sebanyak USD1 bilion kepada syarikat PetroSaudi dan juga syarikat Good Star diberi secara serta-merta sebab suami kepada Gabenor BNM ketika itu sudah disogok.
“Yang ini, media-media tidak mahu lapor ke,” katanya.
Najib berkata, mengenai anak perempuannya yang pernah bekerja di TPG Capital bukanlah satu rahsia.
Katanya, jawatannya itu juga bukan tinggi, iaitu hanya sebagai profesional perhubungan pelabur.
Terdahulu, saksi utama perbicaraan rasuah, bekas jurubank Goldman Sachs Group Inc, Roger Ng memberi keterangan bahawa pada 2009 bekas Pengerusi Goldman Lloyd Blankfein bertemu dengan Najib dan pertemuan itu diadakan dengan agenda.
BACA: Perbicaraan 1MDB di AS: Pertemuan Blankfein untuk dapatkan jawatan buat anak-anak Najib di Goldman
BACA: SPRM terima laporan Najib terhadap Tim Leissner berhubung isu 1MDB
BACA: Tim Leissner akui 'tamak, kemahuan tinggi' punca terjebak skandal 1MDB
Sebagai balasan untuk perniagaan yang memberi keuntungan, Goldman akan mendapatkan pekerjaan kepada tiga anak Najib di bank itu, kata Leissner kepada juri dalam keterangan hari kedua pada Selasa mengenai skim 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
#1Malaysia Development Berhad #Najib Razak #Bank Negara Malaysia #Amerika Syarikat #PetroSaudi
;