Tiada sekolah di Sabah larang pelajar pakai rantai keagamaan - Jame Alip

Bernama
Disember 3, 2014 01:22 MYT
JAME: Pihak sekolah juga tidak mahu murid yang memakai rantai tanda keagamaan yang berfesyen, bersaiz besar dan tidak bersesuaian yang boleh menimbulkan salah faham kepada pelajar yang lain
Pihak sekolah di negeri ini tidak pernah menghalang atau melarang pelajarnya memakai rantai tanda keagamaan masing-masing semasa berada di kawasan sekolah, kata Pengarah Pendidikan Negeri Sabah Datuk Jame Alip.
Beliau berkata ibu bapa pelajar hanya perlu mengisi borang yang disediakan pihak sekolah untuk memohon kebenaran memakai rantai tanda keagamaan.
"Pihak sekolah akan mengeluarkan kad kebenaran sebagai bukti makluman dan tidak akan dipertikaikan oleh mana-mana pihak," katanya pada sidang media di sini pada Selasa.
Jame berkata pelaksanaan kad itu adalah kerana pemakaian aksesori di kalangan pelajar menyukarkan pihak sekolah untuk membezakan rantai keagamaan atau sekadar perhiasan semata-mata.
Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan sebuah akhbar tempatan yang mendakwa Sekolah Menengah Ken Hwa, Keningau melarang pelajar beragama Kristian memakai rantai tanda keagamaan di kawasan sekolah.
Katanya dakwaan bahawa pelajar yang tidak memohon kad kebenaran memakai rantai itu akan dirotan dan gantung sekolah adalah tidak benar.
"Pihak sekolah juga tidak mahu murid yang memakai rantai tanda keagamaan yang berfesyen, bersaiz besar dan tidak bersesuaian yang boleh menimbulkan salah faham kepada pelajar yang lain," katanya.
Selain itu, Jame turut meminta supaya pengetua dan guru besar sekolah mengadakan perbincangan dengan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sebelum melaksanakan sesuatu dasar dan merujuk kepada peraturan serta pekeliling yang disediakan Kementerian Pendidikan bagi mengelak percanggahan.
#Jame Alip #Pengarah Pendidikan Negeri Sabah