Tiada sekatan aktiviti pemasaran dan e-dagang sepanjang tempoh PKP
Astro Awani
Mac 25, 2020 10:00 MYT
Mac 25, 2020 10:00 MYT
Aktiviti pembekalan makanan dan e-dagang dibenarkan untuk terus beroperasi mengikut garis panduan yang telah ditetapkan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Alexander Nanta Linggi berkata, selain itu perkhidmatan logistik dan pengangkutan yang menyokong rantaian bekalan dan pemasaran serta e-dagang bagi pembekalan bahan makanan dan barang keperluan turut dibenarkan beroperasi.
Jelasnya, syarikat-syarikat ini dibenarkan beroperasi dengan jumlah pekerja minimum dan mematuhi langkah-langkah pengawalan COVID-19 seperti yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
"Kebenaran beroperasi adalah selaras dengan takrif sektor yang kritikal seperti yang telah diumumkan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) di dalam perutusan beliau pada 21 Mac.
"Ini adalah tanggungjawab kerajaan untuk memastikan rangkaian pengedaran peruncitan tidak terjejas sekali gus memberi keyakinan kepada rakyat," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Rabu.
Dalam pada itu katanya, pihak industri juga diingatkan agar melaksanakan langkah-langkah pencegahan COVID-19 semasa aktiviti urus niaga berjalan.
"Antara langkah yang perlu diambil adalah memastikan hanya pekerja bebas-gejala dibenarkan memasuki premis, amalkan penjarakan sosial, pencucian tangan yang kerap serta amalan-amalan lain seperti garis panduan KKM.
"Syarikat yang dibenarkan beroperasi turut diarahkan untuk beroperasi pada kadar paling minimum atau menutup perkhidmatan non-essential," tegasnya.
Katanya lagi, adalah menjadi tanggungjawab setiap syarikat yang telah diberi kebenaran mematuhi arahan dan mengambil tindakan sewajarnya.
Tambahnya, majikan juga perlu menyediakan surat pengesahan kepada setiap pekerja untuk rujukan dan ditunjukkan kepada anggota penguatkuasa apabila diminta.
"Sehubungan itu, rakyat dinasihatkan agar tidak bimbang dengan bekalan makanan dan keperluan harian kerana ia dijamin mencukupi.
"Adalah penting supaya rakyat tidak melakukan pembelian panik atau berlebihan. Adalah wajar agar pengguna mengamalkan ciri-ciri pengguna bestari dan melaksanakan pembelian terancang," ujarnya.