Tiada sebarang aktiviti pembiayaan keganasan oleh NPO di Malaysia

Bernama
September 30, 2014 21:52 MYT
ALIAS: Tiada sebarang aktiviti pembiayaan keganasan daripada pihak tertentu dalam negara ini melalui sebarang NPO dalam negara. -Gambar fail
Tiada sebarang aktiviti pembiayaan keganasan daripada pihak tertentu dalam negara ini melalui sebarang Organisasi Bukan Berasaskan Keuntungan (NPO) dalam negara.
Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Alias Ahmad berkata meskipun terdapat lebih 100 kes pengubahan wang haram dikesan sejak tiga tahun lepas, namun Malaysia bukanlah negara yang selamat untuk pihak terbabit melakukan aktiviti berkenaan.
"Malaysia bukan hab untuk pengganas mahupun pihak yang mahu membiayai sebarang aktiviti keganasan oleh rakyat negara ini," katanya kepada media.
Beliau mewakili Menteri KPDNKK, Datuk Seri Hasan Malek merasmikan Seminar Kebangsaan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan Untuk Organisasi Bukan Berasaskan Keuntungan 2014 di sini, hari ini.
Sehubungan itu, Alias menegaskan kementerian melalui Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mengambil inisiatif mengadakan seminar kesedaran bagi melindungi NPO daripada dijadikan platform pengubahan wang haram atau membiayai sebarang aktiviti keganasan.
"Kita bekerjasama dengan ROS (Jabatan Perdaftaran Pertubuhan) mengambil langkah termasuk memberikan advokasi supaya mereka sedar bahaya pengubahan wang haram dan langkah-langlah perlu diambil untuk mengelak menjadi mangsa.
Terdahulu, Alias yang membacakan teks ucapan Hasan berkata meskipun tidak melibatkan jumlah kes yang membimbangkan di negara ini, namun perkembangan semasa global dan perkembangan teknologi dilihat meluaskan jangkauan rangkaian aktiviti pengubahan wang haram.
"Pengubahan wang haram adalah isu global yang serius, iaitu IMF (Tabung Kewangan Antarabangsa) menganggarkan hasil daripada kegiatan jenayah ini meningkat sebanyak dua hingga lima peratus setiap tahun," katanya.
Beliau berkata antara langkah yang diambil kerajaan termasuk penambahbaikan dan transformasi undang-undang termasuk menamakan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram 2001 (AMLA 2001) kepada Akta Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLATFA) pada Mac 2007.
"Pindaan terakhir pula diluluskan Parlimen baru-baru ini iaitu pada Jun 2014," katanya.
Sementara itu, seminar berkenaan yang kali kedua diadakan adalah anjuran bersama SSM dengan ROS dan Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan (Labuan FSA).
Seminar bertema 'Pemantapan Mekanisme Kawalan Dalaman Organisasi Bukan Berasaskan Keuntungan (NPO) di Malaysia' itu disertai 250 peserta mewakili NPO di Malaysia.
#KPDNKK #Malaysia #NPO #pengganas
;