'Tiada sebab untuk saya tumbangkan kerajaan' - Muhyiddin

Astro Awani
Ogos 2, 2015 08:05 MYT
MUHYIDDIN: Tidak pernah berdepan apa-apa masalah dengan Najib malah melaksanakan semua arahan yang diberikan tanpa soal - kecuali isu melibatkan 1MDB. - Gambar Fail
Bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menolak dakwaan dia berniat untuk menumbangkan kerajaan ketika beliau memegang jawatan nombor dua dalam parti yang menunjangi kerajaan sejak 2009.
"Saya Timbalan Presiden UMNO yang tegakkan kerajaan, takkanlah saya hendak melakukan sesuatu untuk menumbangkan kerajaan?," katanya ketika ditemui ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kluang di Dewan Pekan Rabu, Kluang, di sini, Ahad.
Pada masa sama, Muhyiddin mempertahankan tindakannya menyuarakan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan hanya mahu memberikan nasihat dan pandangan untuk mengukuhkan parti yang menjadi tunjang kepada pemerintahan negara.
Tegas Muhyiddin, beliau tidak pernah berdepan apa-apa masalah dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak malah melaksanakan semua arahan yang diberikan tanpa soal - kecuali isu melibatkan 1MDB.
Katanya, beliau tidak akan membisu mengenai soal 1MDB kerana ia merupakan isu besar yang menjadi perhartian dunia.
"Jadi yang berbeza itu sedikit yang lain saya akur dengan presiden kecuali dalam isu yangg saya sebutkan tadi…tak apa lah walau apa pun keadaan itu hak PM. Kenapa saya menyuarakan hal itu dan saya suarakan hal lain kenapa isu ini jadi perhatian bukan sahaja di Malaysia tetapi di seluruh dunia ia bukan isu kecil tapi isu besar.
"Kalau isu besar saya tutup mulut dan bisu bermakna saya tak bertangungjawab, jadi saya menyuarakan (hal itu).
"(Ia) mungkin tak disenangi tapi itu hak saya (untuk bersuara)," tegas Muhyiddin ketika berucap merasmikan masyuarat perwakilan UMNO Bahagian Kluang di Dewan Pekan Rabu, Kluang, Johor.
Ia menjadi masyuarat perwakilan pertama yang dirasmikan oleh Muhyddin selepas digugurkan daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri.
Najib mengugurkan Muhyiddin daripada jawatan TPM melalui rombakan kabinet pada Selasa.
Semasa mengumumkan rombakan kabinet, Najib berkata sebagai anggota Kabinet, perbezaan pendapat dan pandangan tidak sepatutnya dilakukan di forum terbuka yang boleh menjejaskan pandangan umum terhadap kerajaan serta negara.
"Keputusan menggantikan Tan Sri Muhyiddin merupakan satu keputusan yang amat sukar, tetapi terpaksa saya lakukan agar Jemaah Menteri dapat bergerak sebagai satu pasukan yang jitu."
"Saya boleh menerima perbezaan pendapat dan kritikan sebagai sebahagian dari proses dalam membuat keputusan. Namun, sebagai anggota Kabinet, perbezaan pendapat dan pandangan tidak sepatutnya dilakukan di forum terbuka yang boleh menjejaskan pandangan umum terhadap Kerajaan serta Negara. Ia juga bertentangan dengan konsep tanggungjawab bersama Kabinet (collective responsibility)."
#1Malaysia Development Berhad #Mesyuarat Perwakilan Umno #Muhyiddin Yassin #Najib Razak