Tiada sebab halang bina Lapangan Terbang Kulim - Lim Guan Eng

Bernama
April 29, 2019 05:00 MYT
Lim berkata pembesaran LTAPP dan pembinaan KXP kelak akan melonjakkan industri pelancongan ke tahap yang lebih tinggi.
Tidak ada sebab untuk menghalang cadangan pembinaan Lapangan Terbang Kulim (KXP) di Kedah apabila pembiayaannya akan ditanggung oleh pihak swasta menerusi Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI), kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.
Beliau berkata kerajaan mahupun Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) tidak perlu mengeluarkan apa-apa perbelanjaan kerana projek berkenaan dibiayai sepenuhnya oleh pihak swasta.
"Kerajaan tak perlu keluarkan wang. Itu yang kita dapat jimat. Itulah pendekatan kerajaan selama ini. Sekiranya pihak swasta keluarkan wang dan kerajaan tak keluarkan wang jadi kenapa kita harus menghalangnya sekiranya wang ini datang daripada pihak swasta," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Lee Khai Loon (PH-Machang Bubok) yang mencelah ketika Lim membahaskan ucapan terima kasih Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Abdul Rahman Abbas pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini pada Isnin.
Lee ingin tahu sama ada pembinaan KXP akan memberi impak negatif kepada Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) khususnya dan negeri Pulau Pinang amnya.
Terdahulu, Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata dua laporan hasil kajian kebolehlaksanaan cadangan pembinaan lapangan terbang tersebut yang dilaksanakan oleh perunding mendapati projek berkenaan akan memberi impak negatif kepada negeri itu.
Lim yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih berkata pembesaran LTAPP dan pembinaan KXP kelak akan melonjakkan industri pelancongan ke tahap yang lebih tinggi.
Sementara itu, mengulas mengenai projek pembesaran dan menaik taraf LTAPP, beliau berkata pihaknya bercadang untuk memperbesarkan lapangan terbang itu sehingga mampu menampung kapasiti 16 juta penumpang berbanding 12 juta penumpang yang dirancang sebelum ini.
"Sekarang penumpang di Pulau Pinang ialah lapan juta orang. Kalau bina untuk kapasiti 12 juta penumpang nanti di masa depan sukar untuk dapat peruntukan, jadi lebih baik kita teruskan dengan kapasiti 16 juta penumpang.
"Kalau kita mahu (kapasiti) 16 juta penumpang, saya rasa kita kena lihat jangka masa yang lebih panjang, satu perancangan yang lebih mendalam kerana akan melibatkan penggunaan tanah yang luas yang berkemungkinan akan meningkatkan jumlah perbelanjaan," katanya.
Persidangan DUN bersambung hari ini.
-- BERNAMA
#DUN Pulau Pinang #inisiatif pembiayaan swasta #Kedah #kerajaan #Kulim #KXP #Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang #Lapangan Terbang Kulim #Lee Khai Loon #Lim Guan Eng #LTAPP #MAHB #pelancongan #penumpang #PFI #pulau pinang
;